Berita Semasa

Karnival TEKUN Madani bakal temui pengunjung di Sungai Buloh pada 1 hingga 3 Mac

SUNGAI BULOH – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensi di bawahnya TEKUN dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh bakal menganjurkan Karnival TEKUN Madani peringkat Selangor bermula 1 hingga 3 Mac depan bertempat di Strand Mall, Kota Damansara.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramakrishnan berkata, karnival itu dianjurkan bagi memudahkan rakyat  Selangor khasnya penduduk di Sungai Buloh mendapatkan informasi mengenai produk pembiayaan TEKUN, serta inisiatif dan program yang disusun oleh agensi-agensi lain di bawah KUSKOP.

“Karnival ini mendekatkan masyarakat tempatan khasnya warga Sungai Buloh dengan informasi, inisiatif, bantuan serta pembiayaan yang disediakan di KUSKOP dan 10 agensi di bawahnya,” katanya.

Ahli Parlimen Sungai Buloh itu berkata, itu juga dianjurkan bagi mewujudkan jaringan perniagaan antara usahawan bagi mewujudkan komuniti usahawan TEKUN yang kukuh, berdaya maju, jujur dan progresif.

“Ini merupakan peluang yang baik untuk usahawan setempat mempamer dan
mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka,” katanya.

Tambah beliau lagi, selain lebih 100 reruai jualan dan pameran, pelbagai pengisian dan acara menarik telah disusun selama tiga hari karnival berlangsung.

“Ini termasuk sesi perkongsian daripada usahawan berjaya, penyampaian CSR Back to School, Malam Kota Damansara Berselawat, demonstrasi masakan, sukaneka, persembahan artis, demonstrasi solekan dan pemakaian tudung, cabutan bertuah, dan banyak lagi,”ujarnya.

Selain itu, Ramanan memaklumkan, bagi mengiktiraf usahawan yang berdaya maju, Anugerah Usawahan turut diberikan kepada lima usahawan terbaik peringkat Selangor dan Sungai Buloh.

“Dua buah motosikal bakal menanti pengunjung bertuah dan banyak lagi hadiah menarik menanti pengunjung. Apa lagi, jom sama-sama meriahkan Karnival TEKUN Madani di Sungai Buloh!,” katanya.

Sementara itu, Ramanan memaklumkan beliau telah mengatur pelbagai program
membabitkan agensi-agensi di bawah kementeriannya untuk dianjurkan di Kawasan Parlimen Sungai Buloh.

Antaranya program Jualan Madani daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), program bersama belia, program bimbingan keusahawanan dan banyak lagi demi memajukan usahawan tempatan seterusnya ekonomi penduduk setempat.

Sehubungan itu beliau mengajak masyarakat setempat mengambil manfaat atas semua program yang akan dilaksanakan.

Show More

Related Articles

Back to top button