Automatif & Teknologi

Pengurusan sisa pepejal, sistem pengesanan cerun antara 20 teknologi tempatan ditawarkan MOSTI untuk PBT

CYBERJAYA – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berhasrat untuk mengkomersialkan sekurang-kurangnya 20 teknologi pintar buatan tempatan yang boleh dimanfaatkan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara.

Menterinya, Chang Lih Kang berkata, buat masa ini, 20 teknologi yang dibangunkan dengan kepakaran tempatan sesuai untuk menyelesaikan pelbagai masalah di kawasan berkenaan.

Menteri MOSTI, Chang Li Kang bersama Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching

Beliau berkata, ia termasuk sistem pintar pengurusan sisa pepejal, konsep pengurusan bandar pintar dan produk tenaga diperbaharui dan sistem pengesanan cerun.

“Kami menyasarkan sekurang-kurangnya 20 teknologi dan imovasi tempatan diguna pakai di peringkat PBT menjelang tahun 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menerima kunjungan delegasi PBT dari Perak diketuai Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatannya, Sandrea Ng Shy Ching di ibu pejabat Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya, sistem teknologi dan inovasi pintar bukan sahaja menjimatkan kos malah dapat membantu menjimatkan tenaga kerja dan memudahkan pemantauan.

Sementara itu Shy Ching berkata, penggunaan terhadap teknologi baharu sangat diperlukan memandangkan tugas PBT pada masa kini sangat kompleks dan diletakkan harapan yang tinggi oleh rakyat.

“Menjadi komitmen PBT untuk menyelesaikan masalah sedia ada dan meningkatkan mutu perkhidmatan PBT kepada rakyat.

“Pada masa sama PBT juga terlibat dengab pembangunan infrastruktur, perancangan bandar, pembangunan komuniti dan sebagainya.

“Lawatan hari ini memang kami mahu mendapatkan pendedahan terkini mengenai teknologi untuk membantu PBT,” katanya.

Selain itu katanya, langkah itu juga bertetapan dengan hasrat kerajaan negeri Perak untuk mewujudkan Smart City Blueprint pada tahun ini.

 

Show More

Related Articles

Back to top button