Bisnes & Ekonomi

MyFranchise labur RM62 juta kembangkan jenama Gloria Jean’s Coffees dan 1901 Frankfurters

KUALA LUMPUR – Malaysia International Franchise Sdn Bhd (MyFranchise) akan melabur sebanyak RM62 juta bagi tempoh lima tahun bermula 2024 sehingga 2029 bagi mengembangkan jenama Gloria Jean’s Coffees dan 1901 Frankfurters di seluruh negara.

Menerusi pelan perniagaan strategik selama lima tahun itu, MyFranchise akan membina ekosistem keusahawanan menyeluruh meliputi antaranya penambahbaikan rantaian bekalan (central kitchen), logistik, pemerkasaan pemasaran dan rangkaian bahan mentah.

Perkembangan ini djangka dapat mencipta sehingga 900 peluang pekerjaan, dengan unjuran pulangan jualan sebanyak RM1.8 juta setahun bagi setiap cawangan Gloria Jean’s Coffees dan RM600 ribu setahun bagi setiap cawangan 1901 Frankfurters.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, usaha MyFranchise ini selaras dengan Dasar Pembangunan Usahawan Francais Nasional 2030 (D-PUF 2030) yang kini sedang dimuktamadkan.

“Dasar itu dirangka bagi memastikan ekosistem keusahawanan francais di negara ini berkembang dengan lebih teratur dan berstruktur, sekali gus membuka lebih banyak peluang dan meningkatkan potensi keusahawanan di Malaysia, dengan nilai sasaran jualan francais sebanyak RM100 bilion menjelang 2030,” kata Ewon hari ini.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan ‘Flagship Store’ 1901 Frankfurters dan Gloria Jean’s Coffees di Menara Pernas, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri KUSKOP, Datuk Ramanan Ramakrishnan; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP, Datuk Zamri Salleh; Pengerusi Pernas, Datuk Hazimah Zainudin, dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MyFranchise, Ahmad Jeoffrey Aladib.

MyFranchise merupakan anak syarikat milik penuh Pernas, yang merupakan sebuah agensi di bawah KUSKOP yang berperanan memperkasa pertumbuhan industri francais Malaysia di samping menyediakan sokongan pembiayaan terutamanya kepada usahawan baru yang ingin berjinak dalam dunia francais.

Show More

Related Articles

Back to top button