Berita Semasa

PERNAS sasar lahir 5,000 usahawan francais

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui Perbadanan Nasional Bhd (PERNAS) menjangkakan 5,000 usahawan baharu dapat dilahirkan bagi tempoh pembiayaan francais antara 2021 hingga 2025.

Daripada jumlah itu, sebanyak 90 peratus daripada pembiayaan akan dimanfaatkan oleh golongan usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R Ramanan berkata, antara tumpuan utama usaha pemerkasaan PERNAS ketika ini adalah untuk meningkatkan daya perniagaan dalam kalangan usahawan PMKS melalui penglibatan dalam bidang francais.

“Sejak tahun 2000, PERNAS telah melahirkan 5,590 usahawan francais melalui pembiayaan sebanyak RM441 juta.

“Ia juga telah menyediakan lebih daripada 35,000 peluang pekerjaan dengan nilai pelaburan keseluruhan lebih RM709 juta.

“PERNAS juga sejak dari dahulu telah menyediakan pelbagai program perniagaan, pemerkasaan golongan B40 dan banyak lagi,” katanya selepas lawatan julung kali ke Menara PERNAS di Bandar South di sini, hari ini.

Beliau meluangkan masa kira-kira 30 minit mendengar taklimat pengurusan tertinggi PERNAS yang diketuai Pengerusi, Datuk Hazimah Zainuddin.

Ditanya mengenai perkembangan Akta Francais 1998, Ramanan berkata akta itu kini diletakkan di bawah KUSKOP selepas diputuskan Kabinet.

Sebelum ini, Akta Francais berada di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Datuk R Ramanan menerima cenderahati dari Hazimah Zainuddin dalam lawatan ke Menara PERNAS hari ini.Dalam pada itu, R Ramanan mengucapkan tahniah kepada PERNAS atas prestasi baik agensi yang bertanggungjawab dalam pembangunan usahawan francais negara itu.

“Saya dimaklumkan Datuk Hazimah mengendalikan PERNAS dengan baik walaupun jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di sini masih belum diisi.

“Pengumuman mengenainya (pengisian jawatan CEO) akan diumumkan menteri tidak lama lagi,” katanya.

Sementara itu, Hazimah berkata, tumpuan PERNAS pada ketika ini adalah untuk meningkatkan potensi keusahawanan francais kepada lebih ramai peniaga termasuk mereka yang berniaga di jalanan.

“Atas komitmen ini, PERNAS juga bakal menerima anugerah agensi francais terbaik di rantau ini yang akan berlangsung di Abu Dhabi tidak lama lagi,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button