Berita Semasa

Kerajaan sedang tambah baik skim perlindungan seniman – Fahmi

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang berusaha untuk mencari penyelesaian termasuk dengan menambahbaik skim bagi melindungi seniman dan ahli keluarga terdekat mereka, kata Menteri Komunkasi Fahmi Fadzil.

Fahmi dalam satu hantaran di Facebook semalam berkata, adalah penting untuk meningkatkan usaha bagi membantu seniman, lebih-lebih lagi mereka telah banyak memberi sumbangan kepada negara.

Dalam hantaran yang sama, Fahmi turut berkongsi mengenai Allahyarham Man Kadir Samsi iaitu seorang pelawak dan pelakon yang begitu popular menerusi watak Pak Jabit yang dibawanya dalam filem Hantu Kak Limah, Zombi Kampung Pisang dan lain-lain.

Beliau telah berkunjung ke rumah balu Allahyarham, Raja Maharani Raja Jaafar, 70, yang dikatakan mengalami masalah kesihatan.

“Bulan lepas Makcik Maharani sekali lagi diuji. Dia jatuh sakit dan batuknya jadi semakin teruk dan kini dia perlu bergantung kepada penumpu oksigen selama 15 jam sehari untuk bernafas.

“Dia juga perlu mengambil susu formula khas dengan harga RM100 satu kotak untuk dia teruskan kehidupan,” katanya.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, adalah tanggungjawabnya sebagai Menteri Komunikasi untuk menjaga kebajikan seluruh rakyat, terutamanya para seniman.

Justeru, beliau telah menyumbang penumpu oksigen dan beberapa kotak susu formula khas untuk Makcik Maharani.

“Dia terkejut apabila saya beri penumpu oksigen kepadanya, dan bertanya berapa banyak wang yang dia perlu bayar.

“Saya jawab tak perlu, ini hadiah untuk Makcik. Dia memandang tajam ke arah saya, barangkali kegembiraan tak mampu diluah dengan kata-kata. Tapi saya dapat melihat kegembiraan itu di matanya,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button