FOMO turut bawa konotasi positif – Fahmi
KUALA LUMPUR – Fear of Missing Out (FOMO) atau rasa bimbang kerana menganggap diri ketinggalan dalam pelbagai aspek berbanding orang lain turut mempunyai konotasi positif terutamanya ketika mengharungi kepesatan era digital masakini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, individu yang mempunyai perasaan FOMO lebih cenderung untuk bertindak pantas mencari maklumat mengenai sesuatu perkara, sekali gus menjadikan seseorang itu lebih peka terhadap isu-isu semasa yang penting.
“Bagi saya kalau kita tak jadi terlalu obsess (taksub), itu boleh kita anggap sebagai yang positif. Kalau kita tahu apa yang sedang berlaku sekarang, sekurang-kurangnya kita tahu, kalau benda itu bahaya contohnya COVID-19.
“Kalau orang yang FOMO, dia akan cepat-cepat nak tahu ini wabak apa,” kata Fahmi yang mengambil contoh pengalaman peribadinya ketika bermulanya wabak COVID-19.
Beliau berkata demikian ketika muncul pada program Ini Kopi Kita – Sembang Anak Malaysia, sebuah program bual bicara terbitan Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen), yang disiarkan menerusi laman Facebook rasminya, hari ini.
“Bagi saya kalau kita jadi tak terlalu obses, itu adalah benda yang boleh kita anggap sebagai positif,” kata Fahmi lagi.
Selain Fahmi, turut menjadi tamu dalam edisi pertama rancangan itu hari ini adalah selebriti dan usahawan terkenal, Nur Fazura Sharifuddin atau lebih dikenali sebagai Fazura.
FOMO pertama kali digunakan penulis Patrick J. McGinnis dari Amerika Syarikat (AS) sejak 2004, bagi merujuk kepada perasaan yang banyak dialami orang ramai terutama generasi muda yang digambarkan sebagai perasaan tidak ingin tertinggal atau takut tertinggal trend terbaharu.
Antara pencetus kepada perasaan ini adalah ledakan maklumat dalam media sosial, terutamanya kemas kini pengguna lain.
Aspek negatif FOMO, bagaimanapun boleh menjurus kepada keadaan negatif pada kesihatan mental seperti menimbulkan perasaan ketegangan diri hingga depresi.
Sehubungan itu, Fahmi menegaskan, penting untuk mengetahui batasan penggunaan media sosial dan alat telekomunikasi serta mempunyai nilai jati diri daripada terikut-ikut dengan trend atau gaya mewah dipaparkan oleh sesetengah pempengaruh yang belum tentu keasliannya, mungkin disebarkan demi kandungan semata-mata.
Sementara itu, Fazura yang turut senada berkata, media sosial perlu digunakan secara berhemah dan aspek keselamatan perlu diambil kira dengan tidak sembarangan memuat naik kandungan kehidupan peribadi yang dikhuatiri akan mendatangkan kemudaratan.
“Jadilah penyumbang, apa sahaja hantara kita itu, biarlah yang penting.
“Jadilah penyumbang positif, keamanan, jangan jadi penyebab (kepada) perbalahan, kita kena buat yang baik. Kawal diri dan fikir banyak kali sebelum buat hantaran di media sosial,” katanya lagi.