Enam termasuk pegawai kanan polis ditahan bersama ketum
MELAKA – Polis Melaka menahan dua pengawai kanan, tiga pegawai berpangkat rendah dan seorang orang awam bersama 5,200 mililiter (ml) cecair dipercayai ketum dalam serbuah di sebuah rumah di Alor Gajah, di sini malam tadi.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, anggota polis yang ditahan terdiri daripada pegawai berpangkat deputi superintendan (DSP), seorang inspektor, dua sarjan dan seorang lans koperal.
Zainol berkata, suspek berusia 31 hingga 55 tahun itu ditahan dalam serbuan dilakukan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman pukul 11.30 malam.
“Dua pegawai kanan polis ditahan adalah berpangkat DSP dan Inspektor masing-masing berusia 48 dan 36 tahun, manakala dua pegawai rendah adalah dua sarjan dan seorang Lans Koperal berusia 55, 34, dan 31 tahun.
“Kesemua pegawai polis yang ditahan bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka. Turut ditahan adalah seorang lelaki berusia 44 tahun yang bekerja sebagai kontraktor beralamat di Taman Melaka Perdana, Alor Gajah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, polis merampas tiga botol lutsinar berisi cecair dipercayai ketum seberat 2 liter, 1.9 liter dan 500 ml serta tiga bungkus plastik mengandungi 800 ml air ketum.
Katanya, turut dirampas sepasang uniform operasi polis dan satu besen berwarna hijau.
“Perrmohonan reman terhadap semua suspek akan dibuat di Mahkamah Alor Gajah hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30 (2) Akta Racun 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 30 (5) akta sama.
“Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM100,000 atau kedua-duanya sekali,” tambahnya.
Zainol berkata, pihaknya akan memastikan kes disiasat secara telus dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai polis yang boleh memberikan implikasi negatif terhadap nama baik PDRM.
“Pegawai polis yang menjadi gunting dalam lipatan sehingga menjejaskan kredibiliti serta keyakinan masyarakat kepada PDRM perlu diambil tindakan sewajarnya,” katanya.