Doktor di Gaza cerita pengalaman ditangkap, diseksa tentera Israel
GAZA – Seorang doktor Palestin menceritakan pengalamannya ditahan tentera Israel di Gaza dalam satu serbuan di hospital dan mendera beliau selama 45 hari dalam tahanan sebelum membebaskannya minggu lepas.
Menurut laporan Reuters, Doktor Said Abdulrahman Maarouf bekerja di hospital al-Ahli al-Arab di Kota Gaza sewaktu ia dikepung oleh tentera Israel pada Disember tahun lalu.
Beliau menggambarkan tangannya digari, kakinya diikat dan matanya ditutup selama hampir tujuh minggu dalam tahanan.
Katanya, beliau disuruh tidur di tempat yang dilitupi batu kerikil tanpa tilam, bantal atau sarung sambil tentera Israel memasang alunan muzik yang kuat.
Tentera Israel sebelum ini menafikan menyasarkan atau menyalahgunakan orang awam dan menuduh Hamas menggunakan hospital untuk operasi ketenteraan, namun dakwaan tersebut dinafikan Hamas.
“Penyiksaan itu sangat teruk di penjara Israel. Saya seorang doktor. Berat saya 87 kilogram. Berat saya turun lebih 25 kilogram dalam tempoh 45 hari. Saya hilang keseimbangan. Saya hilang fokus. Saya hilang semua perasaan,” katanya.
“Walaupun anda menggambarkan penderitaan dan penghinaan di penjara anda tidak akan dapat mengetahui realitinya melainkan anda menjalaninya,” tambahnya.
Maarouf berkata, beliau tidak tahu di mana ditahan kerana matanya ditutup sepanjang penahanannya, malah beliau juga tidak pasti sama ada ditahan di dalam atau di luar Gaza.
Maarouf dijatuhkan di persimpangan Kerem Shalom dan dijemput oleh Palang Merah.
Lebih memilukan, Maarouf ketika ini tidak mengetahui sama ada ahli keluarganya terselamat ataupun tidak daripada serangan tentera Israel.
Peperangan bermula apabila pejuang Hamas mengamuk merentasi sempadan ke bandar-bandar Israel pada 7 Oktober dan telah menawan 240 tebusan.
Serangan tentera Israel bermula pada hari yang sama dengan pengeboman sengit, diikuti pada bulan Oktober dengan serangan darat yang berterusan selama berbulan-bulan.
Pihak berkuasa kesihatan di Gaza melaporkan, serangan Israel telah membunuh lebih 27,000 rakyat Palestin.
Maarouf tidak dapat menahan sebak ketika beliau menceritakan perbualan telefon terakhirnya dengan anak perempuannya ketika tentera Israel memanggil dengan menggunakan pembesar suara supaya semua doktor dan kakitangan perubatan meninggalkan bangunan hospital.
“Ayah pengeboman telah sampai kepada kita. Apa yang kita lakukan?” anaknya berkata kepadanya.
“Sejak itu hingga hari ini saya tidak mempunyai maklumat mengenai anak atau isteri saya,” katanya sambil menangis.
Kemusnahan di Gaza telah memutuskan komunikasi, sekali gus menyukarkan orang ramai untuk berhubung dan mencapai banyak kawasan secara fizikal.
Maarouf percaya dia adalah salah seorang daripada lebih 100 banduan yang ditahan di tempat yang sama.
“Setiap daripada kita mengharapkan kematian… ingin mati dari penderitaan,” katanya.
Beliau berkata, disuruh tidur berbaring di atas batu kerikil adalah perkara yang paling teruk sepanjang pengalamannya ditahan.
“Saya seorang pakar pediatrik yang bekerja selama 23 tahun dalam bidang ini. Saya tidak melakukan sebarang jenayah kemanusiaan. Senjata saya ialah pen, buku nota dan stetoskop saya. Saya tidak meninggalkan tempat itu. Saya sedang merawat kanak-kanak di dalam hospital,” katanya.
Kembali ke Gaza, beliau bekerja semula di wad kanak-kanak, menyangkut stetoskop di lehernya dan dikelilingi bunyi tangisan bayi sekali lagi.