Anggota miliki RM3,753 semasa sekatan jalan disiasat Jabatan Integriti
KUALA LUMPUR – Pemeriksaan mengejut oleh pegawai Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman terhadap anggota polis terlibat dalam sekatan jalan raya berjaya menemukan wang tunai berjumlah RM3,733.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, susulan kejadian itu, seramai 10 anggota disiasat bagi mengenal pasti jika berlaku sebarang perbuatan rasuah atau pelanggaran prosedur trafik.
Hussein berkata, semua anggota polis yang disiasat adalah anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya yang terlibat dalam sekatan jalan Ops Alkohol pada pagi semalam.
“Pemeriksaan menemukan wang tunai berjumlah RM3,313 pada seorang daripada anggota berpangkat sarjan dan RM440 dalam kereta mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, satu kertas siasatan tatatertib dibuka ekoran pemeriksaan dan laporan berkenaan.
“Semua anggota yang terlibat juga telah dikeluarkan daripada bahagian penguatkuasaan trafik hingga siasatan selesai,” katanya.