Berita Semasa

2,500 sertai Himpunan Mega Basikal Lipat Kebangsaan 2.0

ISKANDAR PUTERI – Dianggarkan sebanyak lebih 2,500 pemilik basikal lipat menyertai Himpunan Mega Basikal Lipat Kebangsaan 2.0 (HMBKL 2.0) di Sunway Big Box, di sini baru-baru ini.

Menurut Pengurus Acara HMBLK 2.0, Nasir Deraman, penganjuran HMBKL yang kini telah memasuki edisi kedua itu menerima sambutan yang menggalakkan daripada peserta dalam dan luar negara.

“Tujuan HMBLK diadakan adalah untuk merapatkan hubungan sesama ahli kelab basikal dari seluruh negara dan acara ini juga turut mendapat sambutan daripada pemilik basikal lipat dari Singapura dan Indonesia,” katanya.

Himpunan ini turut mendapat kerjasama dan sokongan dari pihak Tourism Malaysia, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, PDRM dan Sunway Big Box.

Lebih menarik, sebanyak RM50,000 diperuntukan bagi acara cabutan bertuah yang diadakan bagi peserta berdaftar himpunan berkenaan.

Dalam pada itu, rata-rata peserta berpuas hati dengan acara kayuhan sejauh 25km di sekitar Iskandar Puteri kerana ia memberikan satu pengalaman baharu buat peserta yang pertama kali berkayuh di sini.

“Saya kali pertama hadir untuk program ini, yang pertama dulu saya belum memilikki basikal lipat. Pada saya acara ini sangat bagus kerana kita dapat berjumpa dengan ramai kawan- kawan yang sebelum ini kita hanya bersua secara atas talian melalui media sosial semata.

“Kali ini dapat bertemu secara berdepan dan kayuh bersama dengan mereka yang mempunyai hobi yang sama. Acara HMBLK ni memang terbaik dan perlu diadakan setiap tahun,” kata salah seorang peserta, Lukman Yusuf.

Selain itu, salah seorang peserta dari Batam Indonesia, Norfendra Edo berkata, ini adalah kali pertama dia bersama rakannya mengikuti acara bersepadu di Malaysia.

“Kami ingin merasai dan mencari pengalaman berkayuh disini. Rombongan dari kelab Batam Folding Bike seramai 25 orang  ikut bersama.

“Acara ini sangat luar biasa dan kami pasti akan bersama lagi pada acara berikutnya,” ujarnya.

Pihak penganjur juga telah merancang untuk menganjurkan acara HMBLK 3.0 yang berkemungkinan diadakan di negeri Pahang pada bulan September atau Oktober depan.

Show More

Related Articles

Back to top button