Berita Semasa

Jual tomato RM15 sekilogram, peniaga kedai runcit dikompaun

MELAKA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini mengeluarkan kompaun terhadap peniaga kedai runcit yang tular kerana menjual tomato pada harga RM15 sekilogram di Masjid Tanah di sini.

Kompaun serta-merta RM200 itu dikeluarkan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011, selepas premis terbabit diserbu susulan aduan diterima daripada seorang pembeli kelmarin, lapor Buletin TV3.

Pengarah KPDN negeri, Norena Jaafar berkata, hasil pemeriksaan mendapati peniaga berkenaan menjual tomato dengan harga tinggi iaitu RM15 sekilogram dan tindakan itu dikesan dilakukannya sejak dua bulan lalu.

“KPDN mendapati tiada tanda harga jualan bagi sayuran itu dipamerkan kepada pelanggan.

“Justeru, tindakan kompaun serta-merta mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 dikenakan terhadap premis terbabit yang kemudian dijelaskan peniaga berkenaan,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial apabila seorang pengguna bertanyakan mengenai harga tomato selepas mendakwa ‘terkena’ RM15 untuk sekilogram sayuran itu ketika membelinya di sebuah kedai runcit di kampungnya.

Mengulas lanjut, Norena berkata antara alasan peniaga terbabit menaikkan sayuran itu kerana mendakwa tomato berkenaan Gred A, selain harga diterima dari pembekal juga agak tinggi.

“Kita mengarahkan peniaga itu menjual sayuran itu pada harga munasabah iaitu RM8.99 sekilogram, selain mempamerkan tanda harga bagi mengelakkan kekeliruan kepada pelanggan,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button