Penjawat awam perlu kemaskini PADU selewatnya 15 Februari ini
PUTRAJAYA – Semua penjawat awam perlu mengemas kini maklumat di dalam Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) selewat-lewatnya 15 Februari ini.
Perkara itu dinyatakan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz melalui surat pekeliling bertarikh 17 Januari yang dikongsikan di Facebook hari ini.
Surat berkenaan dihantar kepada semua ketua setiausaha kementerian, ketua jabatan, setiausaha kerajaan negeri dan ketua badan berkanun di peringkat persekutuan dan juga negeri.
“Perdana Menteri pada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bil. 1/2024 pada 14 Januari 2024 meminta supaya semua penjawat awam mengemas kini maklumat dan data dalam sistem PADU dengan kadar segera, selewat-lewatnya pada 15 Februari 2024.
“Sehubungan itu, adalah dimohon untuk memastikan seluruh warga kementerian dan agensi melakukan pendaftaran dan pengemaskinian di portal PADU melalui pautan https://padu.gov.my,” katanya memetik laporan Berita Harian hari ini.
Menurut pekeliling itu, Kementerian Ekonomi diberi tanggungjawab untuk memantau dan memastikan kelancaran proses pendaftaran terbabit.
PADU dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari lalu.
Serentak dengan tarikh pelancaran itu, sistem PADU dibuka untuk membolehkan rakyat mendaftar dan mengemas kini maklumat individu dan isi rumah.
Antaranya berkaitan maklumat asas demografi, pendidikan, pekerjaan, pendapatan, komitmen dan bantuan yang diterima.
Objektif PADU adalah untuk menyediakan pangkalan data utama negara bagi penghasilan analitik berkala dan digitalisasi tanpa ketirisan, menggubal dasar dan proses membuat keputusan berpacukan data serta mengimbangi kedudukan fiskal menerusi pelaksanaan dasar secara bersasar.