Berita Semasa

Dibedah semula selepas pembedahan Caeserian, JKNS janji siasatan telus

KOTA KINABALU – Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) memberi jaminan akan melakukan siasatan terperinci dan secara telus terhadap prosedur pembedahan kelahiran yang didakwa dilakukan secara cuai di Hospital Tawau, akhir tahun lalu.

Pengarah JKNS, Datuk Dr Asits Sanna berkata, pihaknya mengambil serius terhadap aduan berkenaan dan akan memberikan makluman dari semasa ke semasa mengenai perkara itu.

Beliau berkata, walaupun masalah yang dihadapi wanita berkenaan telah diselesaikan melalui pembedahan semula, pihaknya tetap akan mengambil tanggungjawab untuk mengenal pasti punca dan mengambil tindakan sewajarnya.

“Pihak pengadu telah dihubungi dan diberikan maklum balas awal berkenaan perkara yang dibangkitkan. Satu pasukan penyiasat juga ditubuhkan bagi menyiasat dan meneliti isu berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Kenyataan itu dipercayai adalah sebagai maklum balas kepada hantaran yang dibuat oleh suami mangsa sebelum ini.

Dalam kejadian 31 Disember tahun lalu itu, seorang pesakit berusia 34 tahun terpaksa dibedah semula selepas mengalami demam dan kesakitan pada bahagian abdomen selepas seminggu melahirkan anak kembar secara Caeserian Section.

Menjelaskan perkara tersebut, Dr Asits berkata, hasil pembedahan kedua mendapati terdapat komplikasi kuman pada bahagian rahim yang menyebabkan jahitan terbuka sehingga mengakibatkan jangkitan kuman pada rongga abdomen.

“Pembaikan dan penjahitan semula bedahan rahim berjaya dilaksanakan oleh pasukan pakar berkenaan. Terkini, pesakit berada dalam keadaan stabil di bawah pemantauan rapi pasukan perubatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk pemantauan dan rawatan lanjut,” katanya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button