Berita Semasa

Perkenal ‘lemon law’, kerajaan dalam peringkat awal semak kesesuaian

CYBERJAYA – Kerajaan sedang dalam peringkat awal menyemak dan menyelidik kemungkinan mewujudkan ‘lemon law’ bagi menangani isu perlindungan pengguna berkaitan kenderaan rosak.

Laporan portal FMT menyebut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali sebagai berkata, pihaknya sedang meneliti dan menganalisis amalan antarabangsa sebelum menyesuaikannya untuk kegunaan tempatan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desakan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) supaya ‘lemon law’ diperkenalkan, iaitu remedi undang-undang untuk pengguna membeli kenderaan rosak, sama ada baharu atau lama, yang gagal memenuhi kriteria kualiti serta prestasi dalam tempoh khusus.

Amerika Syarikat, Singapura, Korea Selatan, China dan Filipina antara negara mengguna pakai undang-undang seperti itu.

Pada 2004, Singapura merangkumkan ‘lemon law’ dalam Akta Perlindungan Pengguna (Perdagangan Adil).

Bagaimanapun, Armizan berkata, Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang kini termaktub turut melindungi pengguna daripada kenderaan rosak.

“Akta itu melindungi pengguna berkait kenderaan rosak dalam beberapa cara, walaupun ia bukan secara jelas ‘lemon law’ dan tidak menawarkan remedi khusus seperti pembelian semula kereta untuk kerosakan tidak boleh dibaiki.

“Ia menyediakan pelbagai peruntukan yang boleh digunakan untuk menangani masalah kenderaan rosak.”

Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai laporan dua buah kenderaan baru dibeli rosak.

Show More

Related Articles

Back to top button