Tempoh reman suspek baling bom petrol rumah Koo Ham dilanjut sehari lagi
MANJUNG – Tempoh reman ke atas suspek kes melontar ‘molotov cocktail’ sehingga mengakibatkan kebakaran kenderaan dan rumah Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham, disambung sehari lagi.
Suspek berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan 12 Januari lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.
Memetik laporan Berita Harian, Majistret Nurul Izalina Rajaai hari ini membenarkan lelaki terbabit dilanjutkan reman hingga esok.
Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap berwarna jingga tiba di Mahkamah Majistret Seri Manjung kira-kira jam 8.50 pagi tadi dengan menaiki trak polis sebelum keluar 40 minit kemudian.
Dalam kejadian pada 10 Januari lalu, sebuah kereta milik Koo Ham hangus dalam kebakaran dipercayai akibat dilontar bom petrol atau molotov cocktail oleh individu tidak dikenali.
Turut mengalami kerosakan dalam kejadian itu adalah dua buah kenderaan yang diparkir di pekarangan kediaman Koo Ham di Taman Semarak Jaya, Ayer Tawar di sini.