500 koperasi tidak aktif dibatalkan – SKM
KUALA LUMPUR – Sebanyak 500 koperasi tidak aktif telah dibatalkan sepanjang tahun lalu, maklum Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan, pembatalan koperasi-koperasi itu adalah atas faktor pengurusan koperasi yang gagal dikesan dan dihubungi pihak SKM.
“Tahun lalu SKM membatalkan 500 koperasi yang mana tindakan ini bukan SKM berniat batalkan macam itu (sesuka hati) sahaja tetapi saya dimaklumkan sukar mencari Pengerusi, Setiausaha Agung selain alamat bertukar dan tidak dapat dikesan.
“SKM membuat pencapaian apabila 1,001 koperasi baharu ditubuhkan berbanding 600 sasaran tahun lalu selain sebanyak 92 koperasi dibaik pulih,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan di ibu pejabat SKM di sini, hari ini.
Lawatan tersebut adalah yang pertama diadakan setelah Ramanan Ramakrishnan dilantik sebagai Timbalan Menteri di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang baharu.
Mengulas lanjut, Ramanan berkata, setakat 31 Disember tahun lalu, sebanyak 15,809 koperasi telah didaftarkan merangkumi 7.31 juta keahlian.
Tambah Ramanan, sebanyak RM16.98 bilion direkodkan bagi jumlah modal syer atau yuran manakala RM159.61 bilion bagi jumlah aset dengan nilai perolehan berjumlah RM45.50 bilion.
“SKM juga bukan sahaja bekerjasama dengan koperasi dalam negara, malah mereka berkolaborasi dengan negara luar seperti India, Korea Selatan, Kemboja, Switzerland dan Indonesia,” katanya lagi.