Berita Semasa

Nelayan diminta jadi ‘mata telinga’ pihak berkuasa – Maritim Malaysia

BINTULU – Masyarakat diminta untuk bekerjasama dengan pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dengan menyalurkan maklumat tentang segala aktiviti salah laku dan jenayah di kawasan perairan Bintulu khususnya di kawasan Jepak.

Pegawai Memerintah Kapal Maritim (KM) Setia, Leftenan Komander Maritim Mohd Naiem Razak berkata, Maritim Malaysia khususnya Zon Maritim Bintulu komited melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan perairan negara.

Namun ujar beliau, kerjasama daripada masyarakat khususnya komuniti maritim seperti nelayan amat diperlukan dalam menyalurkan maklumat kepada pihaknya bagi membanteras aktiviti berkenaan.

Katanya lagi, maklumat orang ramai amat penting bagi membantu risikan yang dijalankan oleh pihak agensi untuk menyelesaikan kes jenayah seperti penyeludupan dadah, pencerobohan bot nelayan asing dan sebagainya.

Beliau berkata demikian ketika diwawancara dalam sebuah forum sempena Program Jom Gegar Jepak; Sahabat Maritim Bebas Dadah di sini hari ini.

Turut hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee yang turut serta sebagai panel forum dan Pengarah Komunikasi Korporat Maritim Malaysia, Faridah Shuib yang mewakili Maritim Malaysia selaku tetamu kehormat majlis ini.

Pada perkembangan yang sama, Iskandar merakamkan ucapan penghargaan kepada semua agensi yang memberikan sokongan dalam penganjuran program ini.

Ujarnya, program ini adalah bertepatan dengan hasrat beliau untuk memastikan DUN Jepak bebas daripada isu sosial terutamanya permasalahan dadah.

“Justeru kerjasama semua pihak amat diperlukan dalam membanteras isu ini kerana sekiranya ia membelenggu masyarakat khususnya belia di kawasan Jepak, maka hasrat untuk membangunkan komuniti di kawasan ini akan terbantut akibat isu sosial yang melanda komuniti setempat,” ujarnya.

Beliau terdahulu menyifatkan Maritim Malaysia sebagai wira kerana tanpa usaha pihak agensi ini mengekang aktiviti jenayah di laut khususnya penyeludupan dadah, masalah penagihan dadah tidak dapat dibendung.

Berdasarkan data Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi tahun 2023, Sarawak telah mencatatkan seramai 3,079 orang penagih dengan Bintulu mencatatkan seramai 306 orang penagih dengan 296 orang adalah penagih baharu.

Show More

Related Articles

Back to top button