Berita Semasa

Seorang pelajar sekolah maut, 4 lain cedera terkena renjatan elektrik ketika ambil umpan

PADANG TERAP – Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Syed Ahmad maut manakala empat yang lain cedera selepas terkena renjatan elektrik di kawasan sawah, di Kampung Tanjung Putus, di sini, semalam.

Dalam kejadian itu, Muhammad Hariyz Akief Noraimi, 14, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Nerang, memetik laporan Sinar Online.

Ketua Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap, Asisten Superintendan (ASP) Yukhrul Mohd Yusof, berkata, kejadian dipercayai berlaku pada jam 6.30 petang ketika mangsa bersama empat rakannya pergi ke kawasan itu untuk mengambil umpan pancing tiruan yang tersangkut pada kabel elektrik.

Beliau berkata, seorang daripada rakan mangsa naik ke atas tempat duduk motosikal dan cuba mengait umpan tiruan itu menggunakan sebatang galah aluminium.

“Ketika itu, mangsa (Muhammad Hariyz) bersama rakan-rakannya yang lain memegang motosikal supaya tidak terjatuh.

“Ketika cuba mengait umpan tiruan itu, secara tiba-tiba mereka berlima terkena renjatan elektrik sehingga menyebabkan semua mereka pengsan.

“Keempat-empat rakan mangsa (Muhammad Hariyz) sedar kembali tidak lama kemudian namun mangsa (Muhammad Hariyz) tidak sedarkan diri.

“Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Kuala Nerang oleh penduduk kampung dan setibanya di hospital, pegawai perubatan mengesahkan Muhammad Hariyz meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi Sinar Online.

Beliau berkata, mayat Muhammad Hariyz dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat.

Show More

Related Articles

Back to top button