Angka korban di Gaza cecah 23,357 orang
GAZA – Angka korban di Gaza meningkat kepada 23,357 orang akibat serangan rejim Israel sejak perang tercetus 7 Oktober lalu, maklum Kementerian Kesihatan Gaza pada Selasa.
Dianggarkan bahawa kira-kira 40 peratus daripada mereka yang terbunuh adalah berumur bawah 18 tahun manakala sekurang-kurangnya 59,167 lagi cedera.
Lebih membimbangkan, sejumlah mangsa masih berada di bawah runtuhan dan di jalan-jalan raya kerana tiada akses untuk ambulans ke tempat berkenaan akibat serangan udara dan darat bertubi-tubi yang dilancarkan tentera Israel.
60 peratus infrastruktur di Gaza musnah akibat serangan berterusan rejim zionis
manakala hampir dua juta penduduk hilang tempat tinggal.
Lebih buruk lagi, penduduk juga bergelut dengan kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan.
Laila al-Sultan yang berusia tujuh tahun dan abangnya Khaled, 4, kini tinggal di sebuah pekan pondok khemah di selatan Gaza selepas rumah keluarga mereka musnah dalam serangan udara yang membunuh bapa mereka.
“Rumah itu runtuh menimpa kami, dan ayah pergi ke syurga dan dia sangat gembira,” kata Khaled memetik laporan Reuters.
Dalam perkembangan lain, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) membatalkan misi bantuan perubatan yang dirancang ke Gaza atas faktor keselamatan dan ia adalah pembatalan yang keenam dalam tempoh 2 minggu.
Dalam pada itu, Bulan Sabit Merah Palestin berkata, empat kakitangannya terbunuh selepas ambulans mereka diserang Israel di jalan utama berhampiran Deir al-Balah, di tengah Semenanjung Gaza.
Dua penumpang dalam ambulans cedera dan kemudian meninggal dunia.