Berita Semasa

Polis temukan molotov cocktail ketika siasatan awal di lokasi kebakaran

MANJUNG – Pihak polis menemukan satu botol disyaki mengandungi bahan mudah terbakar ketika melakukan siasatan awal di kediaman Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham di Taman Semarak Jaya di Ayer Tawar, yang terbakar awal pagi tadi.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, sehubungan penemuan bahan itu yang turut dikenali sebagai molotov cocktail, pihaknya tidak menolak kejadian tersebut berpunca daripada perbuatan khianat.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api.

“Usaha mengesan individu terlibat masih diteruskan dan polis beri jaminan siasatan dilakukan secara terperinci daripada pelbagai aspek,” katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Beliau berkata, dalam kejadian itu, pemimpin DAP tersebut bersama ahli keluarganya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, kebakaran hanya melibatkan kemusnahan sebuah kereta Mercedes Benz E300 dan kesan kepanasan kepada dua kenderaan lain iaitu jenis Honda CRV dan Toyota Hilux.

“Orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan kes ini,” katanya lagi.

Mereka yang mempunyai sebarang maklumat kejadian itu, boleh menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Mohd Azalan Ab Karim di talian 019-3927837 bagi membantu siasatan polis.

Show More

Related Articles

Back to top button