Hiburan

Kreator : Strongest of the Strong, penantian dua dekad

KUALA LUMPUR – Debaran semakin terasa menjelang persembahan kumpulan thrash metal legenda, Kreator yang bakal menggegarkan pentas muzik metal negara pada 25 Januari ini.

Selepas persembahan pertama di Backroom, Chow Kit kira-kira 20 tahun lalu, Kreator kembali menjejakkan kaki ke Malaysia. Kali ini untuk menggoncang pentas Zepp Kuala Lumpur.

Konsert Kreator : Strongest of the Strong Live in Malaysia yang dibawakan oleh Rockstage Entertainment dengan kerjasama Lampuneon merupakan siri jelajah promosi album terbaru mereka, Hate Über Alles.

Bagi bala tentera metal tanah air, peluang menyaksikan kumpulan yang berdiri semegah Sodom dan Destruction ini pasti peluang yang tidak mahu dilepaskan.

Foto : Rockstage Entertainment

Hate Über Alles merupakan album ke 15 sejak penubuhan kumpulan dari Essen, Jerman ini lebih empat dekad yang lalu (1984).

Penantian selama lebih lima tahun (tanpa album) sejak Gods of Violence nyata membuahkan karya yang hebat walaupun mungkin tidak tersenarai antara album terbaik mereka.

Yang pasti, kelahiran album ini tidak mengehadkan Kreator untuk membawa perubahan dalam gubahan muzik mereka. Selepas seminggu melayari Hate Über Alles di Spotify, saya merasakan album ini berdiri dengan kekuatan tersendiri.

Namun perubahan gaya dalam album-album Kreator bukanlah sesuatu yang baru atau sekadar eksperimental. Yang penting aksi di pentas mereka pasti memakau.

Kreator menampilkan 10 trak lagu (tidak termasuk 1 lagu intro) yang cukup bertenaga, padat dengan laungan vokal pembantaian perihal politik dan sosial di dalam album yang diterbitkan (Nuclear Blast) pada pertengahan 2022 ini.

Menghayati rif-rif gitar Miland ‘Mille’ Petrozza dan Sami Yli-Sirniö dengan pukulan dram oleh Jürgen ‘Ventor’ Reil dalam versi digital membuatkan saya tidak sabar untuk menyaksikan aksi Live mereka.

Foto : Kreator FB page

Lagu Crush the Tyrant dengan mood epik power metal misalnya seperti menjelmakan Manowar, intro lagu Hate Über Alles pula membayangi rentak Angel of Death dan beberapa lagi trak melodik yang bersulam orkestra.

Secara keseluruhan, saya amat menyukai album ini. Kreator kekal solid walaupun tidak sekeras biasa. Apa pun, ini bukannya ulasan album tetapi sekadar bayangan persembahan mereka pada hari cuti Thaipusam nanti.

Foto : Kreator FB page

Sementara itu, Pengarah Rockstage Entertainment, Talib Othman berkata, peluang membawa masuk gergasi thrash metal itu diharap akan memberi kepuasan maksimum kepada peminat.

Empat kategori tiket dijual secara dalam talian dan di pintu masuk pada hari persembahan.

Harga bagi tiket yang dibeli secara dalam talian untuk kategoeri VIP Box berharga RM750 dan Tiket VIP Box hanya dijual secara dalam talian sahaja.

Sementara tiket yang dibeli secara dalam talian untuk kategori CAT 1 iaitu berdiri bebas (RM330), kategori CAT 2 iaitu tempat duduk premium (RM380) manakala kategori CAT 3 iaitu tempat duduk biasa (RM350).

Bagi tiket yang dibeli di pintu masuk pada hari konsert berlangsung, harga tiket bagi kategori CAT 1 iaitu berdiri bebas boleh didapati pada harga RM380, kategori CAT 2 iaitu tempat duduk premium (RM430) manakala kategori CAT 3 iaitu tempat duduk biasa (RM400).

Tiket Kreator : Strongest of the Strong Live in Malaysia kini terjual dengan pantas secara online di www.myticketempire.com

 

Show More

Related Articles

Back to top button