Anggaran kerosakan akibat banjir di institusi pendidikan melebihi RM1 juta – Fadhlina
PUTRAJAYA – Anggaran kerosakan di semua institusi pendidikan akibat banjir bermula 11 November lalu melebihi RM1 juta.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, anggaran itu melibatkan institusi di Kelantan, Terengganu dan Pahang.
“Laporan awal diterima, anggaran kerosakan akibat banjir kali ini melebihi RM1 juta, melibatkan kerosakan perabot, pagar, struktur bangunan dan aset yang tidak boleh dipindah milik,” kata Fadhlina, hari ini.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar khas berhubung situasi terkini institusi kementerian Pendidikan (KPM) terkesan bencana banjir, di sini hari ini.
Secara keseluruhannya, Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula 1 November lalu telah menjejaskan sebanyak 157 institusi pendidikan di lapan negeri iaitu 133 buah sekolah rendah, 23 sekolah menengah dan sebuah pusat Permata.
Manakala 207 buah institusi pendidikan dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) di 10 buah negeri.