Berita Semasa

Projek perumahan ancam keselamatan penduduk

BANGI – Penduduk Taman Bangi Indah dan perumahan PKNS Batu 6, di sini, melahirkan rasa bimbang soal keselamatan mereka apabila projek perumahan yang dibina mampu menyebabkan banjir kilat yang besar.


Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Ramal, Mohd Shafie Ngah sistem perparitan yang ada ketika ini tidak mampu menampung kadar aliran air hujan susulan longkang sedia ada sudah berusia 50 tahun.

“Dengan sempurnanya projek Bangi Avenue, dan bermulanya projek ratusan unit rumah di sekitar perumahan ini, longkang sedia ada sudah tentu tidak mampu menanggung air yang begitu banyak.

“Tambahan pula dengan kadar hujan yang begitu tinggi mutakhir ini, kadar air yang perlu ditanggung oleh longkang sedia ada anggarannya berkapasiti lebih lima kali ganda,” tulisnya dalam satu hantaran di Facebook.

Terdahulu, Shafie Ngah bersama pegawai Pusat Khidmat DUN Sungai Ramal melakukan jelajah di Taman Bangi Indah dan perumahan PKNS Batu 6 Bangi, dengan penyertaan wakil penduduk setempat.

Tujuan jelajah ini adalah untuk melakukan tinjauan dan mendapatkan maklumat secara terus daripada penduduk terhadap beberapa isu.

Mengulas lanjut, Shafie Ngah berkata,
keadaan menjadi lebih buruk apabila tarahan bukit bersebelahan dengan perumahan yang berusia lebih 50 tahun itu berjalan.

Kata beliau, pemaju melakukan kerja-kerja tarahan bukit bagi memulakan projek perumahan bertingkat beratus unit di situ.

“Apa yang menyedihkan ialah air yang turun daripada bukit berkenaan sebahagiannya disalirkan ke kawasan perumahan berhampiran dan sebahagian lagi ke longkang Jabatan Kerja Raya (JKR), yang kedua-dua bentuk longkang tersebut bukan selayaknya digunakan oleh pemaju berkenaan.

“Sudahlah air daripada Bangi Avenue memenuhkan longkang perumahan, ditambah pula oleh air daripada projek bersebelahan.

“Keadaan ini menyebabkan berlaku limpahan air hujan yang memasuki rumah penduduk berhampiran, sekalipun kedudukan rumah-rumah penduduk lebih tinggi berbanding yang lain,” ujarnya lagi.

Tambah Shafie, aduan demi aduan telah dibuat oleh penduduk namun ianya tidak diendahkan oleh pemaju, mahupun pihak berkuasa yang meluluskan projek-projek tersebut.

“Keadaan ini amat serius dan Pusat Khidmat DUN Sungai Ramal sudah laporkan kepada pihak berwajib. Sekiranya tiada tindakan yang betul daripada pihak-pihak berkenaan kami bimbang sesuatu yang lebih buruk akan berlaku,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button