Berita Semasa

Musim tengkujuh : KKDW salur RM225 juta melalui tiga agensi

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM225 juta diperuntukkan kerajaan kepada pekebun kecil getah di seluruh negara bagi meringkankan beban golongan itu yang terkesan akibat banjir.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah menerima sebanyak 311,596 permohonan daripada sasaran 318,750 penerima.

Beliau berkata, peruntukan akan disalurkan melalui tiga agensi yang dipertanggungjawab mengendalikan pembayaran berkenaan.

“Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menerima sebanyak 230,735 permohonan, manakala Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) menerima 69,077 permohonan dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) pula 11,784 permohonan.

“Setakat ini, bagi fasa penyaluran bantuan, tiga agensi sudah mencapai prestasi bayaran RM140,829,600 iaitu pekebun kecil dan penoreh getah RISDA sebanyak RM76,140,800, LIGS (RM55,261,600) dan FELDA (RM9,427,200),” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga menteri KKDW berkata, kelayakan penerima Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) melalui RISDA adalah pekebun kecil dan penoreh yang memiliki dan mengusahakan tanaman getah tidak melebihi 2.5 hektar.

“Penyediaan BMT adalah untuk memastikan sokongan berterusan daripada kerajaan kepada pekebun kecil dan penoreh untuk terus bergiat dalam aktiviti perladangan getah dan menjana kemakmuran yang berpanjangan dalam sektor pertanian,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button