Berita Semasa

Hannah Yeoh teruja rai sukan rakyat di pedalaman Sarawak

BINTULU – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkongsi keterujaan ketika disantuni kemesraan masyarakat pedalaman Sarawak ketika hadir merasmikan Pesta Sukan Krismas dan Kebudayaan 2023 di Kampung Data Kakus, dekat sini.

Hannah dalam catatan di Facebooknya berkata, perjalananan di Bumi Kenyalang selama 8 jam dengan menaiki pacuan empat roda itu memberikan pengalaman yang cukup berharga.

Semuanya kerana keikhlasan dan kesungguhan masyarakat kampung yang menganjurkan acara dan sambutan dengan penuh meriah dan warna-wani walaupun dengan hanya peruntukan yang kecil.

“Saya benar-benar merasai keikhlasan dan kesungguhan mereka menyambut kehadiran saya. Jujurnya, keikhlasan dan kesederhanaan yang mereka tunjukkan semasa dari awal saya turun dari kereta, begitu menyentuh hati saya.

“Tanpa saya sedar, mata pun basah melihat mereka. Inilah makna sebenar dalam sukan rakyat. Dengan bajet yang kecil dan fasiliti yang serba-serbi kurang, mereka usahakan segala-galanya yang termampu untuk ini. Tiada lagi hadiah Krismas yang mampu saya minta,” katanya.

Hannah Yeoh bergambar bersama pegawai JBSN, ketua kemuniti dan penduduk Kampung Data Kakus, Sarawak.

Hannah berkata, kehadirannya di Kampung Data Kakus adalah untuk merasmikan Pesta Sukan Krismas dan Kebudayaan 2023 di atas jemputan Pengarah Jabatan Belia Dan Sukan Persekutuan Negeri Sabah, Apui Jan.

Katanya, acara yang merupakan program terakhir beliau bagi tahun 2023 itu menjadi penyuntik semangat untuk memeriahkan lagi penganjuran acara sukan rakyat pada tahun hadapan.

“Gerak kerja merakyatkan sukan dan mengangkat komuniti belia terutama di kawasan pendalaman pasti menjadi fokus utama saya tahun depan.

“Dengan kepelbagaian dan kesatuan kita, kita boleh menjayakannya bersama-sama. Bak kata penduduk Kampung Data Kakus, “Banyak anggota, tapi satu tubuh”,” katanya.

Hannah Yeoh beramah mesra dengan penduduk Kampung Data Kakus, pedalaman Bintulu, Sarawak.

Show More

Related Articles

Back to top button