Berita Semasa

Terengganu siap sedia hadapi banjir gelombang ketiga

Dijangka bermula Jumaat ini

KUALA TERENGGANU – Terengganu yang baru pulih daripada gelombang kedua baniir semalam kini bersiap sedia menghadapi gelombang ketiga yang dijangka berlaku mulai Jumaat ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Datuk Seri Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan berdasarkan ramalan cuaca dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia), iaitu hujan lebat beserta angin kencang dijangka melanda persisir pantai negeri ini bermula 22 hingga 26 Disember ini.

“Ini ekoran daripada ribu Jelawat dari Filipina campur angin tropika yang akan membawa hujan yang agak berat (lebat).

“Kemuncaknya (hujan lebat dan angin kencang) pada 24 dan 25 Disember ini,” katanya kepada pihak media selepas menerima pek bantuan, Pakej Prihatin daripada Petronas, di sini malam tadi.

Tengku Farok Hussin berkata, berdasarkan taklimat Met Malaysia kelmarin, hujan lebat dan angin kencang akan melanda sepanjang 244 kilometer persisir pantai Terengganu selain tempiasnya boleh merebak ke kawasan pendalaman sepanjang tempoh lima hari sehingga Selasa minggu depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri itu menambah, Met Malaysia juga memberi amaran impaknya boleh menyebabkan banjir besar seperti yang pernah melanda daerah Kemaman dan Dungun pada dua tahun lalu.

“Ini kemungkinan paling teruk namun biasanya tempias ribut tersebut akan melemah sebelum menghampiri negara kita.

“Apapun, MET Malaysia akan mengeluarkan makluman terkini dari semasa ke semasa. Apapun kita telah bersiap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button