J-KOM kini di bawah pemantauan Kementerian Komunikasi – Fahmi Fadzil
PUTRAJAYA – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) yang sebelum ini di bawah Jabatan Perdana Menteri akan diselia oleh kementeriannya susulan rombakan Kabinet baru-baru ini.
Menurut Fahmi, keputusan itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Kata beliau, selain J-KOM, Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Jabatan Penerangan (JaPen), Jabatan Penyiaran, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan MyCreative Ventures dikekalkan di bawah Kementerian Komunikasi.
“Ada satu agensi yang dibawa masuk ke dalam Kementerian Komunikasi ialah J-KOM. Perkara ini diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Fahmi berkata, beliau belum mengadakan sebarang pertemuan dengan pihak J-KOM dan meminta sedikit masa untuk memuktamadkan beberapa perkara, termasuk ketua pengarah baharu.