AS guna kuasa veto tolak usul gencatan senjata
NEW YORK – Usaha untuk meraih undi bagi gencatan senjata serta-merta antara pihak pejuang Palestin dan Israel menemui jalan buntu selepas Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa veto menentang langkah tersebut dalam Mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang diadakan di sini, semalam.
Usul tersebut telah dibawa Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres bersama sekumpulan negara Arab, namun menjadikan usul itu tidak mungkin berjaya selepas ditentang AS.
Menurut Antonio Guterres, tindakan Hamas tidak boleh membenarkan “hukuman kolektif” terhadap rakyat Palestin ketika rejim Israel meneruskan kempen ketenteraan di Gaza.
“Kira-kira 130 tebusan masih ditahan. Saya menggesa mereka dibebaskan segera tanpa syarat, mendapat layanan kemanusiaan dan lawatan daripada Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah sehingga mereka dibebaskan.
“Pada masa sama, tindakan dilakukan Hamas tidak boleh membenarkan hukuman kolektif terhadap rakyat Palestin,” katanya memetik laporan AFP.
Sejak perang tercetus pada 7 Oktober lalu,
lebih 17,487 orang terkorban di Gaza termasuk wanita dan kanak-kanak.
Terdahulu, Guterres mengerahkan Artikel 99 Piagam PBB yang jarang digunakan untuk membawa kepada perhatian majlis iaitu “apa-apa perkara yang pada pendapatnya boleh mengancam pengekalan keamanan dan keselamatan antarabangsa.”
Artikel 99 memberikan kuasa kepada Setiausaha Agung untuk “mengemukakan perhatian kepada Majlis Keselamatan mengenai apa-apa perkara yang menurut pendapatnya boleh mengancam kelestarian keamanan antarabangsa.
Sehingga kini, tiada seorang pun yang pernah menjawat jawatan Setiausaha Agung PBB sebelum ini melakukan perkara tersebut sejak beberapa dekad lalu.
Menurut Timbalan Duta AS, Robert Wood, walaupun AS menyokong keamanan yang berkekalan, yang mana kedua-dua Israel dan Palestin boleh hidup dalam aman dan selamat, namun tidak menyokong gesaan untuk gencatan senjata segera.
“Ini hanya akan menanam benih untuk perang seterusnya,” katanya.
Ini memandangkan, Washington, sekutu terdekat Israel menjelaskan resolusi baharu tidak akan berguna pada peringkat ini.
Terdahulu, Guterres menghantar surat tergemparnya, manakala Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyediakan draf resolusi untuk undian yang menyebut situasi kemanusiaan di Gaza sebagai “malapetaka” dan “menuntut gencatan senjata kemanusiaan segera”.
Teks pendek itu juga menggesa kepada perlindungan orang awam, pembebasan segera dan tanpa syarat semua tebusan dalam kurungan Hamas, dan akses kemanusiaan ke Gaza.
Sementara itu, Duta Perancis ke PBB, Nicolas de Riviere berpendapat, perang kemanusiaan ini tidak boleh ditunggu selama-lamanya, tetapi untuk tergesa-gesa mengundi tanpa berunding akan menjadi satu kesilapan besar.
Timbalan Duta UAE, Mohamed Issa Abushahab, berkata majlis akan mengundi dan ia adalah peluang untuk menjawab gesaan seluruh dunia supaya keganasan itu ditamatkan.
Kawasan Gaza yang luas menjadi tanah terbiar dan PBB berkata kira-kira 80 peratus penduduk kehilangan tempat tinggal, menghadapi kekurangan makanan, bahan api, air dan ubat-ubatan, bersama-sama dengan ancaman penyakit.
“Undang-undang kemanusiaan antarabangsa adalah termasuk kewajipan untuk melindungi orang awam,” kata Guterres.