Berita Semasa

Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI medan terbaik rakyat dapatkan maklumat kejayaan, inisiatif kerajaan

PETALING JAYA – Dijangkakan lebih 200 ribu pengunjung akan membanjiri Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang akan berlangsung di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil bermula esok hingga Ahad.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, program yang julung kali diadakan ini bertujuan untuk menjelaskan kepada rakyat Malaysia mengenai pencapaian dan kejayaan kerajaan selama setahun ini.

“Pada masa yang sama, kita juga mahu orang ramai mendapat maklumat mengenai inisiatif yang kita adakan, yang mana manfaatnya boleh mereka kecapi,” kata Fahmi, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika muncul pada program Malaysia Hari ini (MHI) di saluran TV3, pagi tadi.

Mengenai penganjurannya di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil yang mungkin hanya dapat dihadiri warga Lembah Klang dan masyarakat di kawasan berhampiran sahaja, Fahmi berkata beliau seudah mengarahkan supaya program ini diperluaskan lagi ke setiap daerah di seluruh negara.

“Mungkin luar Kuala Lumpur agak jauh, jadi saya dah minta Jabatan Penerangan untuk adakan satu program seumpamanya dalam skala yang lebih kecil di setiap daerah di seluruh negara,” katanya Fahmi.

Mengenai reruai kementeriannya, Fahmi turut berkata, antara fokus kerajaan ketika ini adalah ekonomi digital, jadi pihaknya akan menekankan kepada pemahaman literasi digital.

“Di reruai KKD, kita akan fokuskan mengenai kempen ‘Saya Digital’, satu inisiatif di bawah MDEC (Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia) yang memfokuskan aspek keselamatan digital.

“Kita akan jelaskan mengenai keselamatan data, terutamanya dalam mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan atas talian,” kata Fahmi lagi.

Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang julung kali diadakan ini akan melibatkan penyertaan semua kementerian di dalam Kerajaan Perpaduan, agensi selain syarikat berkaitan kerajaan.

Selain itu, turut diadakan jualan Mega MADANI, jualan RAHMAH, cabutan bertuah, kaunter diskaun saman (polis) serta karnival kerjaya.

Show More

Related Articles

Back to top button