PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim kurang bersetuju dengan kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mengatakan parti itu masih jauh untuk mengembalikan semula kepercayaan orang Melayu terhadap UMNO.
Menurut Perdana Menteri, kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman baru-baru ini menyaksikan jumlah undi yang diperoleh calon Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar susut.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), berkata beliau berpuas hati dengan maklum balas diterima pada mesyuarat antara kepemimpinan PH dengan UMNO, semalam.
“Tidak juga dan kalau tengok peratus undi ada sedikit susutan dari Pas tapi nampak UMNO (pengundi) belum keluar dan patut kita beri penjelasan.
“Semalam, kita ada mesyuarat antara Pakatan Harapan dan pemimpin UMNO. Dan saya puas hati dan mereka akan gerak jentera ke akar umbi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2023 di sini hari ini.
Yang hadir sama, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Sabtu lalu, Pas mengekalkan penguasaan di Parlimen Kemaman apabila calonnya Ahmad Samsuri menang dengan majoriti 37,220 undi.
Beliau menewaskan pencabarnya dari Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menerusi pertembungan satu lawan satu.
Calon PN itu memperoleh 64,998 undi, manakala Raja Mohamed Affandi yang merupakan bekas panglima Angkatan Tentera Malaysia mewakili UMNO mendapat 27,778 undi.