Berita Semasa

Rebut peluang jadikan Malaysia hab AI – Sivaraj

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa untuk merebut peluang dalam perkembangan pesat industri Kecerdasan Buatan (AI) dengan menjadikan Malaysia sebagai hab di rantau ini.

Menurut Senator Datuk C. Sivaraj, langkah kerajaan mewujudkan Pusat Pengajian Kecerdasan Buatan pertama negara, iaitu Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) di Universiti Teknologi Malaysia dengan peruntukan awal sebanyak RM20 juta boleh dijadikan batu loncatan untuk negara.

“Saya melihat pengumuman ini sebagai keprihatinan kerajaan dalam mendepani perubahan dan cabaran yang baka berlangsung berikutan perkembangan dalam industri AI yang dijangka akan mengubah landskap pekerjaan secara menyeluruh.

“Dikesempatan ini, saya ingin mencadangkan supaya Malaysia mengambil “lead” untuk menjadi hab AI di peringkat serantau seperti Singapura supaya Malaysia dapat menerima manfaat dalam bentuk pelaburan daripada syarikat-syarikat gergasi teknologi seperti syarikat G42,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 di Dewan Negara hari ini.

Dalam pada itu beliau turut menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) untuk segera menambah baik kurikulum pendidikan negara.

Beliau berkata dengan adanya pendidikan asas mengenai AI di peringkat sekolah rendah dan menengah, ia dapat membina minat dalam kalangan anak muda terhadap bidang ini sekali gus menjadikan mereka sebagai “feeder” kepada industri tersebut pada masa akan datang.

Dalam pada itu beliau juga mengingatkan kerajaan supaya tidak terlepas pandang pada kerangka industri sedia ada yang begitu bergantung pada tenaga kerja asing dalam merencana pelan industri baharu yang disifatkan tertumpu kepada bidang “High Growth, High Value”.

“Di bawah Ikhtiar 4: Merombak Struktur Ekonomi, Menteri Kewangan telah mengumumkan bahawa kerajaan melalui “New Industrial Master Plan 2030” (NIMP 2030) menyasarkan pelaburan sehingga RM95 billion.

“Secara dasarnya kerajaan juga telah mengumumkan dana pemula sebanyak RM200 juta sebagai galakkan untuk merealisasikan sasaran ini.

“Dalam usaha kita untuk merencana pelan industri baru yang disifatkan sebagai tertumpu kepada bidang “High Growth, High Value”, kita juga jangan terlepas pandang pada kerangka industri sedia ada yang begitu bergantung pada tenaga kerja asing, terutamanya untuk mengisi keperluan tenaga kerja dalam bidang separuh mahir dan tidak mahir,” ujarnya.

Sementara itu beliau turut melahirkan kebimbangan dengan kes bunuh diri dalam kalangan remaja yang terus meningkat dengan ketara.

Sehubungan itu beliau menyeru Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memberi lebih banyak tumpuan kepada isu ini, terutamanya dari aspek infrastruktur kesihatan, kaunseling, kesedaran dan membina kapasiti.

Pada masa sama katanya, peranan pihak sekolah dalam mencegah isu seperti buli di sekolah juga perlu diambil secara lebih serius.

Show More

Related Articles

Back to top button