Jenayah & Mahkamah

Mayat ditemukan disimen dalam bilik air

KLANG – Seorang lelaki dipercayai warga asing sudah ditahan bagi membantu siasatan mengenai penemuan mayat yang disimen dalam bilik air sebuah rumah sewa di Kampung Pendamar, di sini semalam.

Sumber memaklumkan, mayat wanita itu ditemukan setelah pemilik asal rumah berkenaan menjalankan proses pembaikan rumahnya sebelum disewakan kembali kepada penyewa lain.

“Sebelum ini, rumah itu disewa dua lelaki warga asing sebelum mereka memaklumkan kepada pemilik rumah yang mereka mahu berpindah keluar, Oktober lalu.

“Bagaimanapun lelaki warga emas terbabit menyedari terdapat tambahan simen di dalam bilik airnya sebelum bertanya kepada penyewa lamanya namun tidak mendapat maklum balas.

“Selepas itu barulah mereka memaklumkan balik kepada pemilik rumah terbabit kononnya ada bangkai tikus mengalir masuk ke dalam kolah mandi itu menyebabkan terpaksa menambah simen,” katanya.

Tambahnya, mayat itu ditemukan ketika kerja pembaikan dilakukan, menyebabkan pemilik rumah terus tampil membuat laporan di Balai Polis Pandamaran semalam.

“Polis yang menerima maklumat kemudian ke lokasi kejadian dan meminta bantuan bomba untuk memecahkan simen terbabit bagi mengeluarkan mayat,” katanya.

Sementara itu, laporan Sinar Harian menyebut, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan kes bunuh terbabit dengan penemuan mayat itu ketika dihubungi.

Show More

Related Articles

Back to top button