Kemenangan Pas di Kemaman milik mutlak Pas – Fahmi Fadzil
KUALA LUMPUR – Kemenangan calon Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar di Kemaman adalah isyarat kepada Bersatu bahawa kemenangan itu milik mutlak Pas bukannya bersama-sama Perikatan Nasional (PN).
Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil juga menyifatkan Bersatu perlu menilai kedudukannya yang tidak begitu signifikan dalam PN.
Katanya, Bersatu juga sepatutnya lebih ‘risau’ tentang kedudukan Ahmad Samsuri yang disebut menepati kriteria sebagai ketua pembangkang yang selayaknya dilantik.
Fahmi berkata, Pas kini boleh mengintai jawatan ketua pembangkang yang kini dipegang Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Bersatu).
“Saya rasa Pas sedang memperjuangkan peranan sebagai pemimpin pembangkang.
“Saya rasa sekarang ini, sejumlah ahli parlimen Bersatu telah menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri… dalam keadaan PRK Kemaman nampak seperti kemenangan untuk Pas dan bukan PN.
“Logo yang digunakan pun bukan PN tetapi logo Pas,” katanya yang menafikan kemenangan Ahmad Samsuri sebagai referendum rakyat (rakyat menolak Kerajaan Perpaduan).
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Forum Sistem Penyampaian Perkhidmatan Awam: Menjadikannya Lebih Cekap Dan Berkesan di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di Bukit Kiara, hari ini.
Dalam PRK Kemaman Sabtu lalu, Samsuri menang dengan majoriti besar iaitu 37, 220 mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.
Majoriti yang diperoleh calon PAS kali ini melebihi 10,041 undi berbanding penyandang sebelum ini, Che Alias Hamid yang memperoleh majoriti sebanyak 27,179 undi.