Politik

Lantik Dr. Samsuri sebagai Ketua Pembangkang jika penuhi calon PM

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil mencadangkan Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dilantik menjadi Ketua Pembangkang sekiranya benar parti Perikatan Nasional (PN) mahu mencalonkan Naib Presiden PAS itu sebagai Perdana Menteri.

Menteri Komunikasi dan Digital itu berkata, Menteri Besar Terengganu yang baharu sahaja memenangi pilihan raya kecil (PRK) Kemaman itu perlu dinaikkan sebagai ketua pembangkang selepas mengangkat sumpah sebagai ahli parlimen.

“Mungkin selepas ini langkah seterusnya selepas beliau (Samsuri) angkat sumpah (sebagai Ahli Parlimen) ialah beliau akan dinobat sebagai ketua pembangkang.

“Jadi, kita serah kepada mereka (pembangkang) untuk buat keputusan itu,” katanya ketika menghadiri program ‘Run Hack: Scam Alert 2023’ di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Fahmi berkata, Ahmad Samsuri perlu diberi kepercayaan sebagai ketua pembangkang sekiranya mempunyai kriteria dan potensi untuk menjadi calon perdana menteri.

Sebelum ini, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad menyatakan kepercayaan terhadap Ahmad Samsuri sebagai calon perdana menteri sekiranya kerajaan PN mengambil alih pentadbiran negara.

Jawatan ketua pembangkang PN pada masa kini disandang oleh Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang merupakan Ahli Parlimen Larut.

Sementara itu, dalam PRK Kemaman semalam, Samsuri menang dengan majoriti besar iaitu 37, 220 mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Majoriti yang diperoleh calon PAS kali ini melebihi 10,041 undi berbanding penyandang sebelum ini, Che Alias Hamid yang memperoleh majoriti sebanyak 27,179 undi.

Show More

Related Articles

Back to top button