Berita Semasa

Aideaz Integrated terima Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Bumiputera

KUALA LUMPUR – Syarikat milikan penuh Bumiputera, Aideaz Integrated Sdn Bhd dinobatkan sebagai pemenang anugerah Kecemerlangan Perniagaan Bumiputera (BBEA) 2023 di dalam kategori Promising Brand in Advertising.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick kepada Pengarah syarikat, Mohd Saufi Mokhtar pada majlis gala yang dianjurkan oleh Estilo Media dengan kerjasama Bernama bertempat di Mandarin Oriental pada Khamis lalu.

BBEA 2023 merupakan sebuah platform yang yang bertujuan memperkasakan kemajuan serta memberi penghargaan kepada syarikat-syarikat Bumiputera, perusahaan, usahawan dan personaliti di Malaysia atas pencapaian dan sumbangan mereka kepada industri.

Mengulas mengenai anugerah yang diterima, Saufi Mokhtar berkata, kejayaan yang dicapai bukanlah milik beliau seorang tetapi hasil kerja keras semua kakitangan yang bertungkus-lumus memastikan syarikat berjaya mencapai segala sasaran yang diinginkan.

“Kejayaan ini diharapkan akan menjadi pembuka lembaran kecemerlangan Aideaz Integrated ke haluan mencapai lebih banyak lagi kejayaan-kejayaan di masa akan datang terutamanya dalam sektor pengiklanan.

“Kita tidak mahu selesa dan berpuas hati di tahap ini sahaja, malah akan terus berusaha dengan lebih gigih”, katanya.

Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah banyak menyumbang secara langsung mahupun tidak langsung ke arah kejayaan Aideaz Integrated sehingga ke hari ini.

“Alhamdulillah, kami sememangnya sangat-sangat bersyukur kerana sentiasa diberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi dari semua pihak termasuklah para pemegang taruh, rakan niaga, pelanggan, pembekal dan juga vendor.

“Hasil sokongan mereka adalah pencetus yang memacu Aideaz Integrated untuk mengapai kejayaan demi kejayaan. Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan”, ujarnya.

Mengangkat tema “Menjuarai Kecemerlangan, Meraikan Kebersamaan”, anugerah ini turut menghimpunkan penggerak komuniti Bumiputera serta mengiktiraf jenama yang berusaha untuk memberi impak dalam industri perniagaan masing-masing.

Majlis gala yang dianjurkan turut menampilkan persembahan khas daripada selebriti terkenal tanah air termasuklah Ramli Sarip, Datuk Nora Ariffin dan Datuk Zainal Abidin.

Show More

Related Articles

Back to top button