
Lebih 200 usahawan berkampung di SELBIZ 2024, platform kembang perniagaan
KUALA LUMPUR – Ekspo Usahawan Selangor (SELBIZ) 2024 yang dibawakan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kembali untuk tahun ketiga pada 4 hingga 6 Oktober ini di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Setia Alam.
Bertemakan ‘Melangkah Lebih Jauh’, sasaran penganjuran pada tahun ini adalah untuk membantu usahawan memperluaskan perniagaan bukan sahaja di pasaran tempatan malah ke peringkat antarabangsa.
PKNS menjangkakan kehadiran lebih ramai pengunjung pada tahun ini melalui penyertaan 200 reruai usahawan terdiri daripada pelbagai sektor perniagaan seperti produk makanan, minuman, produk kecantikan, pakaian, peralatan sukan, perkhidmatan dan lain-lain.
Program kali ini bukan sahaja tertumpu kepada usahawan-usahawan di bawah bimbingan Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU) PKNS tetapi juga terbuka kepada semua usahawan.
Antara tarikan lain di SELBIZ 2024 adalah Fiesta Coffee yang menawarkan sembilan reruai usahawan kopi beserta 20 reruai makanan dan minuman viral untuk dinikmati oleh pengunjung.
Program selama tiga hari ini juga diharap menjadi platform untuk orang ramai mendapatkan maklumat keusahawanan daripada agensi-agensi kerajaan dan juga syarikat-syarikat utama di bawah segmen pemadanan perniagaan.
Turut disediakan perkhidmatan Klinik Usahawan Selangor yang membolehkan usahawan atau orang ramai mendapatkan sesi bimbingan atau kaunseling mengenai perniagaan secara percuma.

Bagi memeriahkan acara tahunan ini, PKNS dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) akan menyediakan kaunter jualan produk PKPS serta Jualan Ehsan Rahmah dengan harga yang lebih rendah.
Tarikan acara dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti SELBIZ Obstacle Run, Magic Show, Petting Zoo dan Family Mini Game.
Acara turut diserikan dengan program Selawat @SELBIZ bersama beberapa tokoh-tokoh agama selain perkongsian secara interaktif berkaitan konsep perniagaan dalam Islam dan juga persembahan daripada Kumpulan Hijjaz dan Selawat Taranum Voices.
Di pentas nyanyian pula, pengunjung akan dihiburkan dengan Konsert Gempak yang menampilkan selebriti terkenal tanah air terkenal seperti Akim & The Majistret, Sarah Suhairi, Hael Husaini, 6ixth Sense, Syamel dan tidak dilupakan busking daripada kumpulan Karyara.
Maklumat lanjut mengenai acara boleh diperolehi di laman selbiz.my atau membuat pendaftaran awal di pautan https://ticket.selbiz.my/
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |