Luar Negara

Hamas terbuka lanjut gencatan senjata

GAZA – Hamas bersedia melanjutkan gencatan senjata demi menyelesaikan pertukaran tebusan dan tahanan dengan Israel, kata satu sumber yang rapat dengan kumpulan pejuang itu, semalam.

Menurut laporan AFP, pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat (AS) menggesa Israel menubuhkan satu zon selamat untuk orang awam Gaza ketika tempoh pemberhentian perang berkenaan hampir tamat.

Tekanan antarabangsa ketika ini sedang meningkat supaya perang dihentikan sama sekali dan perjanjian damai dimuktamadkan.

Pemberhentian perang selama tujuh hari turut menyaksikan lebih banyak bantuan kemanusiaan memasuki Gaza, di mana krisis kemanusiaan sudah melepasi tahap kritikal sejak perang bermula 7 Oktober lalu.

Sewaktu gencatan senjata semasa hampir tamat hari ini, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, turut menggesa ia dilanjutkan, selepas bertemu dengan pemimpin di Israel dan Tebing Barat yang diduduki.

“Jelas sekali, kami mahu melihat proses ini terus bergerak ke hadapan. Kami mahukan hari kelapan dan seterusnya.

“Israel mesti melaksanakan rancangan perlindungan awam kemanusiaan yang boleh meminimumkan korban rakyat Palestin yang tidak bersalah.

“Ia termasuk dengan jelas dan tepat menetapkan kawasan serta tempat di selatan dan tengah Gaza, di mana mereka boleh selamat dan keluar dari garisan berbahaya itu,” kata Blinken kepada pemberita di Tel Aviv.

Selain itu, sumber yang rapat dengan Hamas, yang enggan namanya didedahkan berkata kepada AFP, gerakan Islam itu juga ‘bersedia untuk melanjutkan gencatan senjata’.

“Negara pengantara sedang gigih berusaha untuk menambah tempoh pemberhentian perang sehingga rundingan damai dicapai,” kata sumber itu.

Sejak perang bermula 7 Oktober lalu, angka kematian rakyat Palestin akibat serangan maut Israel kini melebihi 15,000, selain beribu-ribu yang lain masih hilang di bawah runtuhan, kata pihak berkuasa tempatan Gaza pada Isnin lalu.

Katanya, jumlah kematian tersebut termasuk 6,150 kanak-kanak dan 4,000 wanita selain jumlah mayat yang tidak terhitung bertaburan di jalanan.

Tambahnya, terdapat juga kira-kira 7,000 orang hilang di bawah runtuhan, termasuk 4,700 kanak-kanak dan wanita.

Show More

Related Articles

Back to top button