Peruntukan wakil pembangkang belum dapat ditentukan, Ketua Pembangkang belum bincangkan – Fadillah
KUCHING – Peruntukan bagi wakil rakyat pembangkang masih belum dapat ditentukan kerana Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin belum lagi berbincang mengenainya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Perdana Menteri masih berharap Hamzah akan mengadakan perbincangan berhubung soal peruntukan itu terlebih dahulu, sebelum sebarang keputusan dapat diambil.
“Berbincang bagaimana kita nak menjalinkan kerjasama dalam mentadbir, menguruskan hal ehwal negara, pentadbiran kerajaan dan juga Parlimen, supaya kita dapat memastikan fokus kita ialah mengurus tadbir kerajaan ini dengan baik,” kata Fadillah kepada pemberita selepas menghadiri jamuan makan tengah hari dan penyampaian anugerah sempena Forum Perniagaan Muslim Global (GMBF) 2023, di sini hari ini.
Setakat ini, kata Fadillah, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sahaja yang berjumpa dengan beliau, namun Ahli Parlimen Muar itu bukannya wakil pembangkang.
“Dia datang sebagai bebas, bukan mewakili pembangkang. (Ahli pembangkang) yang lain setakat ini tidak ada yang berjumpa dengan saya. Biarlah kita (antara kerajaan dan pembangkang), berbincang dulu perihal bagaimana kita nak jalin kerjasama,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dilaporkan sebagai berkata, beliau tidak pernah menghalang atau meletakkan syarat ketat dalam soal pemberian peruntukan kepada wakil-wakil rakyat pembangkang.
Kata Anwar, Ahli Parlimen pembangkang perlu melakukan rundingan bersama Fadillah terlebih dahulu, berhubung peruntukan pembangunan kawasan seperti kelaziman yang diamalkan dalam sistem demokrasi serta menghormati peraturan.