Berita Semasa

‘Anwar individu terbaik pegang jawatan Menteri Kewangan’ – Rafizi

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah individu yang paling layak memegang jawatan Menteri Kewangan bagi memastikan isu tatakelola perolehan adalah telus, dan tidak berlaku seperti pentadbiran terdahulu.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata demikian bagi menyangkal dakwaan bahawa kegagalan pemulihan ekonomi negara ketika ini salah satunya berpunca kerana jawatan Menteri Kewangan disandang oleh Anwar.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan turut tidak bersetuju dengan saranan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya Anwar melantik seorang Menteri Kewangan penuh bagi menguruskan hal ekonomi negara.

“Pandangan saya kepada Pagoh (Muhyiddin), itulah silapnya sebelum ini kerana Perdana Menteri memusatkan semuanya kepada dia. Jadi dia tidak sempat buat.

“Jadi sekarang ini dari segi pecahan kerjanya, sebahagian besar dari segi perancangan pelan ekonomi dan dasar sederhana dan jangka masa panjang, ditentukan oleh Kementerian Ekonomi. Kemudian pelaksanaan itu diusahakan bersama dengan kementerian-kementerian yang memang ada mandat dan tanggungjawab itu.

“Urusan dari segi tatakelola kerana Menteri Kewangan bertanggungjawab memastikan proses perolehan itu benar-benar telus. Sebab itu pandangan saya, tokoh yang paling baik untuk menjadi Menteri Kewangan ialah Perdana Menteri,” kata Rafizi di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Muhyiddin (PN-Pagoh), apakah sudah tiba masanya Perdana Menteri melantik seorang Menteri Kewangan penuh bagi memulihkan ekonomi negara.

Menjawab lanjut, beliau berkata ekonomi negara ketika ini berdepan masalah-masalah struktur seperti penglibatan dalam ekonomi tinggi, yang didakwa ditinggalkan oleh pentadbiran-pentadbiran yang dahulu.

Selain itu, Rafizi berkata, Malaysia juga berdepan masalah pasaran buruh seperti gaji dan bentuk-bentuk pekerjaan yang menawarkan gaji yang lebih tinggi.

Show More

Related Articles

Back to top button