
MPSepang laksana penilaian semula kadar cukai taksiran
CYBERJAYA – Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) sedang melaksanakan proses penilaian semula kadar cukai taksiran bagi kawasan yang ditadbirnya.
Yang di-Pertua MPSepang, Datuk Abd. Hamid Hussain berkata, jurunilai yang dilantik pada 2020 sudah selesai melaksanakan penilaian mereka dan penentuan kadar akan diumumkan kelak.
“Cukai taksiran memang menjadi satu perbualan hangat antara pihak berkuasa tempatan ketika ini, khususnya di Selangor.
“Bagi Sepang, kadar cukai yang dikenakan sudah lebih daripada 20 tahun tidak disemak, dan berdasarkan situasi semasa, jumlah kutipan kita ketika ini tidak dapat menampung perkhidmatan yang kita berikan,” kata Abd Hamid.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sejurus Majlis Angkat Sumpah Terima Jawatan Timbalan YDP dan Ahli MPSepang bagi penggal 2023, di sini hari ini.
Ketika ini, jelas Abd Hamid, pihaknya sedang melaksanakan beberapa proses lagi sebelum kadar baharu dibentangkan kepada kerajaan negeri Selangor bagi mendapatkan kelulusan.
“Pihak jurunilai sudah selesai melaksanakan penilaian mereka, dan kini kami sedang melaksanakan beberapa proses sebelum kadar tersebut ditentukan.
“Apa yang boleh saya katakan sekarang, kenaikan itu tidak akan berlaku pada 2023, kelulusan dan keputusan mengenai kadar baharu nanti hanya akan ditentukan oleh Kerajaan Negeri,” jelas Abd. Hamid.
Dalam majlis hari ini, majlis angkat sumpah tersebut diketuai oleh Muhamad Shah Osmin selaku Timbalan YDP MPSepang diikuti oleh 23 Ahli Majlis yang lain.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune