Berita Semasa

Akaun fleksibel KWSP mula dilaksana tahun depan

Boleh dikeluarkan pada waktu kecemasan

KUALA LUMPUR – Akaun fleksibel ataupun akaun ketiga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mula dilaksanakan pada April 2024.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perincian mengenainya dijangka diumum pada Februari 2024.

“Pada bulan Februari 2024 akan diumumkan dividen bagi akaun KWSP dan selepas itu Kementerian Kewangan akan mengumumkan kaedah lebih terperinci mengenai fleksibel akaun yang juga akaun nombor tiga.

“Organisasi yang berkaitan boleh memberikan pandangan mengenai fleksibel akaun ini dan mereka boleh menulis kepada Kementerian kewangan dan juga KWSP,” kata Ahmad selepas merasmikan Mesyuarat Lembaga Pengarah dan Seminar Persatuan Keselamatan Sosial ASEAN (ASSA) ke-40, semalam.

Beliau berkata, Kementerian Kewangan sedang meneliti perkara tersebut yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri dalam Belanjawan 2024.

“Kami akan melaksanakannya tetapi perlu ada kaedah tertentu yang tidak terlalu menjejaskan pendapatan rakyat dan ia hanya boleh dikeluarkan waktu kecemasan.

“Apakah maksud kecemasan itu juga akan diperincikan kemudian. Jadi kita tahu bahawa RM145 bilion ringgit telah dikeluarkan melalui empat kali pengeluaran ketika Covid-19 dan selepas itu kerajaan buat keputusan tidak ada lagi pengeluaran,” katanya lagi.

Ahmad berkata, masih terdapat desakan daripada pelbagai pihak supaya membenarkan pengeluaran wang simpanan KWSP bagi tujuan kecemasan.

“Maka kami akan membuat formula baru iaitu akaun ketiga. Jadi perinciannya kemudianlah. Cadangannya bermula bulan April tahun depan,” tambahnya.

Show More

Related Articles

Back to top button