
Nahas pesawat TLDM: MINDEF tubuh Lembaga Siasatan
KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca nahas dua pesawat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terhempas selepas bertembung di udara ketika latihan di Lumut, Perak, pagi ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, siasatan terperinci akan dilakukan sebagai prosedur untuk mengenal pasti punca kejadian dan identiti 10 mangsa yang terlibat.
“Soal itu, kita akan tengok laporan interim, kita akan cuba buat segera dan kemudian akan ada laporan penuh dari siasatan dijalankan,” katanya kepada media hari ini.
Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Pertahanan di sini, hari ini.
Mohamed Khaled memaklumkan, kru yang terkorban dalam nahas ketika sesi latihan pada pagi tadi terdiri daripada anggota TLDM dari Lumut dan Kota Kinabalu.
Sehubungan itu katanya, MINDEF akan menyalurkan bantuan dan keperluan kepada waris mangsa termasuk menyediakan penerbangan membawa keluarga mangsa dari Sabah.
“Kita akan sediakan kapal terbang (TUDM) membawa mereka (keluarga mangsa) yang dari Sabah ke Lumut untuk pengecaman identiti.
“Apa sahaja bencana jika berlaku kita memang sediakan sumbangan dan bantuan. Ketika ini paling penting adalah tenangkan ahli keluarga,” katanya.
Susulan insiden itu katanya, acara sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 yang bakal diadakan pada Jumaat ini akan dipertimbangkan untuk diteruskan atau sebaliknya.
“Itu saya percaya akan dipertimbangkan kerana ia adalah program yang disusun oleh TLDM,” katanya.
Sementara itu, Mohamed Khaled dan seluruh kementeriannya mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terlibat dalam nahas pertembungan helikopter TLDM itu.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |