Berita SemasaPolitik

MP PN beri sokongan kepada PM: Armada Bersatu buat laporan polis

KUALA LUMPUR – Satu laporan polis telah dibuat berhubung dakwaan wujud unsur habuan, umpan atau ugutan susulan tindakan beberapa Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) yang menyatakan  sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara tersebut diumumkan oleh Ahli Parlimen pembangkang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) ketika beliau bangun bertanya soalan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Wan Ahmad Fayhsal, laporan tersebut telah dibuat semalam oleh Armada Bersatu, manakala laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan dibuat dalam masa terdekat.

“Satu laporan polis sudah dibuat oleh Armada Bersatu, tengah malam, semalam. Ada yang kata ini cakap-cakap kosong dan fitnah… tidak, kita ada fakta dan kita ada kes.

“Laporan susulan kepada SPRM akan dibuat. Selepas ini, kami akan membuat sidang media untuk menjelaskan mengenai laporan polis ini,” katanya yang juga Ketua Armada Bersatu.

Terdahulu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, ketika menjawab soalan asal Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) pada sesi itu, berkata tiada aduan dibuat kepada polis mahupun SPRM berkait dakwaan terbabit.

“Hingga pagi tadi, tiada satu pun aduan polis mahupun SPRM yang dibuat terhadap dakwaan wujud unsur habuan, umpan atau ugutan susulan tindakan beberapa Ahli Parlimen daripada PN menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.

“Ugutan… ia membabitkan tugasan polis. Umpan dan habuan termasuk dalam ‘territory’ (bidang kuasa) SPRM. Untuk menjawab pada pagi ini, saya meminta dua agensi itu memberi jawapannya… hingga saat ini, tiada satu pun laporan dibuat,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button