BN namakan bekas Panglima Angkatan Tentera calon PRK Kemaman
KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) hari ini mengumumkan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (Bersara) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sebagai calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika mengumumkan pencalonan itu berkata, keputusan yang dibuat merupakan hasil persetujuan BN dan UMNO Terengganu termasuk Pemuda dan Wanita.
“Setelah berunding dengan sahabat BN dan UMNO, kita tidak syak calon kita ini dapat membawa perubahan di Kemaman. Jika terpilih sebagai wakil BN, wakil Kerajaan Perpaduan, insya Allah kita akan memberi terus keperluan rakyat di Kemaman.
“Saya yakin beliau dapat menabur perkhidmatan dengan terus membangunkan Kemaman, terutamanya kampung-kampung tradisional, Felda, Felcra, kampung Orang Asli, masyarakat pinggir bandar dan bandar untuk orang-orang Cina.
“Kita juga akan menyantuni seramai lebih 7,000 pengundi India, dan hampir 7,000 pengundi Cina di Kemaman, di samping lebih 300 pengundi Orang Asli,” kata Ahmad Zahid pada majlis pengumuman calon BN di Menara Dato Onn, di sini hari ini.
Raja Mohamed Affandi, 65, yang dilahirkan di Besut, pernah tersenarai sebagai calon untuk Parlimen Besut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November tahun lalu.
Ahmad Zahid turut yakin jentera dan pengundi akan menerima Raja Mohamed Affandi yang dikategorikan sebagai calon langsung parti itu.
Sementara itu, Raja Mohamed Affandi berkata, beliau menganggap tanggungjawab yang diberikan itu sebagai panggilan tugas (call of duty) kepada negara.
“Saya sudah berkhidmat antara 42 hingga 43 tahun, dan usia dah menjangkau 66. Di atas usia apa saya lalui ini, saya fikir apabila diberikan tawaran ini, saya rasa tiba masanya untuk saya berikan balik apa yang ada pada saya sepanjang 40 tahun ke negara ini, khususnya bagi Parlimen Kemaman.
“Ingin saya nyatakan terima kasih di atas kepercayaan. Kepercayaan diberikan itu mempunyai nilai sangat tinggi, dan saya akan berusaha tentukan kepercayaan itu saya bayar balik,” katanya lagi.