Anwar tegaskan PKR tidak pernah jadi anggota Liberal International
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa PKR tidak pernah menjadi anggota pertubuhan antarabangsa Liberal International.
Menurut Anwar yang juga Presiden PKR, perkara tersebut tidak sepatutnya dipolitikkan.
“Soal liberal international, Yang Berhormat boleh semak kita tidak pernah menjadi anggota.
“Kita pada peringkat awal (menjadi) associate, tapi oleh kerana ada beberapa keputusan mereka termasuk mengiktiraf lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta pendirian (menyokong) Israel, kita tidak menjadi ahli,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian pada Waktu Pertanyaan Menteri, bagi bagi menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (Pas-Pasir Mas) yang meminta penjelasan sama ada PKR pernah menjadi ahli pertubuhan yang menyokong Israel.
Jelas Ahli Parlimen Tambun itu, beliau pernah menghadiri dan menyampaikan ucaptama pada persidangan antarabangsa Liberal International di Kaherah, Mesir.
Kata beliau, persidangan itu turut disertai ketua parti pembangkang di Mesir ketika itu, Ayman Nour; wakil Ikhwan al Muslimim (Muslim Brotherhood) Mahdi Akif, dan Mohamed Morsi (sebelum beliau menjadi Presiden Mesir).
Anwar dalam ucapannya yang turut didengari Mahdi Akif, walau bagaimanapun berpendirian tegas dalam menyentuh isu berkaitan kezaliman, hak kepada rakyat dan Palestin.
“Jadi bayangkan.. berbeza dengan sesetengah pendapat kita, betul saya hadir (persidangan itu)… kita juga hadir di United Nations (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) dan di PBB, Israel merupakan anggota yang diiktiraf.
“Namun kita hadir sebagai anggota (PBB) tidak bermakna kita ada kena-mengena dengan Israel. Kita tidak ada hubungan dengan Israel,” katanya yang juga Menteri Kewangan.
Tambah Anwar, PKR telah memutuskan hubungan dengan pertubuhan itu dan perkara berkenaan telah dimaklumkan Menteri Komunikasi dan Digital yang juga Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil.
“Oleh yang demikian kita putus hubungan, dan ini dimaklumkan oleh Menteri Komunikasi dan Digital selaku Ketua Penerangan (PKR).
“Kalau ditanya… dalam hubungan dengan beberapa badan antarabangsa yang saya pernah hadir… saya hadir, saya sebagai pengerusi, tetapi ada had dia. Bila timbul masalah pengiktirafan Israel, maka saya kata (itu) batas kita, tetapi rundingan dalam kesemua isu lain, saya teruskan umpamanya dalam ASEAN,” katanya lagi.