Hamid dilantik Ketua Pengarah Maritim Malaysia yang baharu
PUTRAJAYA – Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin dilantik sebagai Ketua Pengarah Maritim Malaysia yang baharu berkuatkuasa hari ini bagi menggantikan Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som yang telah bersara wajib pada Mac lalu.
Dilahirkan pada 19 April 1964, beliau yang sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia dan telah berkhidmat dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selama 23 tahun sebelum diserapkan ke Maritim Malaysia sebagai pegawai perintis agensi ini pada 31 Oktober 2005.
Menurut Maritim Malaysia dalam satu kenyataan, Hamid memiliki pengalaman luas dalam pelaksanaan operasi maritim di perairan negara, termasuk Selat Melaka dan Sabah dan Sarawak.
“Beliau juga pernah memegang pelbagai jawatan termasuk dilantik sebagai Ketua Staff Bahagian Penguatkuasaan Maritim di Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) pada tahun 2019.
“Beliau turut diberikan tanggungjawab menjadi Pengarah di Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim Ibu Pejabat Maritim Malaysia pada tahun 2021, seterusnya pada bulan Mac yang lalu, beliau telah dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu katanya, atas sumbangan dan jasanya dalam perkhidmatan maritim, anak kelahiran Selangor itu juga telah menerima banyak pengiktirafan seperti Darjah Kebesaran Kesatria Angkatan Tentera (KAT) dan Ahli Mangku Negara (AMN) serta Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M) yang membawa gelaran Datuk pada Ogos yang lalu.
“Kini dengan peranan baharu sebagai Ketua Pengarah Maritim Malaysia, beliau diyakini akan meningkatkan keupayaan aset dan kompetensi warga Maritim Malaysia melalui aspek penguatkuasaan dan carilamat di samping memperkukuhkan kerjasama strategik dengan agensi-agensi tempatan dan luar negara,” katanya.