
Pelakon veteran Kamal Bakar meninggal dunia akibat kanser
MELAKA – Pelakon veteran, Kamaruldzaman Bakar, 62, meninggal dunia di Hospital Melaka di sini pada jam 1.10 pagi tadi selepas dirawat akibat kanser paru-paru tahap empat.
Berita duka itu disahkan anak bongsunya, Haiqal menerusi hantaran dalam laman Facebooknya setelah bapanya dirawat di unit rawatan rapi (ICU) hospital berkenaan.
“Dimaklumkan bahawa ayah saya Kamaruldzaman Bakar (Kamal Bakar) telah meninggal dunia sebentar tadi. Mohon jasa baik semua untuk sedekahkan surah Al-fatihah buat ayah saya.
“Jenazah akan dibawa pulang ke rumah dahulu. Jam 11.30 pagi jenazah akan dibawa ke Masjid Bukit Baru Melaka untuk urusan mandi dan kafan,” katanya.
Allahyarham yang juga kakitangan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Baru selepas solat zohor.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Sarinah Shariff dan lima anak termasuk pelakon, Muhammad Hanis, 35.
Sejak dua minggu lalu Allahyarham berada dalam keadaan tenat dan dirawat di hospital berkenaan.
Perkara itu dimaklumkan oleh anaknya sulungnya, Muhammad Hanis menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Pada 3 Jun lalu, Kamal telah dikejarkan ke Hospital Melaka selepas keluarganya bimbang dengan perubahan sikap termasuk keadaan kesihatan yang semakin merosot ditunjukkan oleh aktor tersebut.
Susulan itu, Kamal dilapor telah ditidurkan akibat komplikasi paru-paru dan kekurangan oksigen.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |