KEMAS sasar 4,000 kelas Program Tabika Pra Tahfiz tahun hadapan
SHAH ALAM – Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) mensasarkan 4,000 kelas di bawah Program Tabika Pra Tahfiz KEMAS pada tahun hadapan.
Ketua Pengarah KEMAS Malaysia, Datuk Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi berkata, sebagai permulaan kepada usaha awal melahirkan huffaz cilik tersebut, sebanyak 100 kelas di seluruh negara dilaksanakan sebagai projek perintis tahun ini.
“Kita melaksanakan 100 kelas tahun ini sebagai projek perintis yang mana kita sudah melatih guru kita yang terbabit dalam projek perintis ini.
“Insya-Allah, tahun depan program ini akan diperluaskan ke (Tabika KEMAS) seluruh negara membabitkan 4,000 kelas… tahun 2025 juga 4,000 kelas dan seterusnya.
“Terdapat 10,840 kelas Tabika KEMAS di seluruh negara, kita sasar 9,500 sahaja sebab ada kelas (anak-anak) bukan Islam di Sabah Sarawak, begitu juga di Semenanjung, ada juga kelas di kawasan perkampungan Orang Asli.
“Tetapi untuk (anak-anak) yang bukan beragama Islam juga ada modul pendidikan kerohanian, khusus untuk mereka,” kata Ahmad Kamal.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perasmian Penutupan Hari Potensi Tabika KEMAS Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kemajuan Desa, Datuk Rizam Ismail, di sini hari ini.
Bagi memastikan tenaga pengajar yang berkelayakan mencukupi, Ahmad Kamal berkata, KEMAS akan bekerjasama dengan Yayasan Pahang, Yayasan Pintar juga UPSI bagi melatih guru Tabika KEMAS yang terbabit dengan program tersebut.
Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian di antara KEMAS dan Yayasan Pahang bagi melaksanakan Program TABIKA Pra Tahfiz KEMAS akan diadakan pada 7 Nov nanti.
“KEMAS menerima khusus latihan dari Yayasan Pahang, mereka menjadi tenaga pengajar untuk guru kita dan juga dari segi mengajar modul anak-anak lima dan enam tahun.
“Dalam program ini, kita fokus kepada surah dalam juzu’ Amma dan juzu’ 30… lebih kurang 18 ayat yang kita laksanakan penghafalan. Ini sebagai usaha menghasilkan Huffaz Cilik yang menguasai hazafan Al-Quran.
“Program ini bertujuan menyemai cintakan Al-Quran di awal usia sebagaimana yang dimaklumkan Timbalan Perdana Menteri,” katanya lagi.