
CAP dakwa harga sayuran naik hingga 160 peratus
CYBERJAYA – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendakwa harga beberapa jenis sayur melonjak lebih 160 peratus dalam tempoh sebulan lalu.
CAP dalam satu kenyataan hari ini berkata, antara sayuran yang didakwa mengalami kenaikan adalah bendi yang meningkat 166 peratus dari RM6 sekilo bulan lalu menjadi RM16 sekilo bulan ini.
Harga kacang panjang turut melihat penggandaan daripada RM6 sekilo kepada RM12 sekilo, harga tomato menyaksikan peningkatan sebanyak 120 peratus dari RM4.50 sekilo menjadi RM10 sekilo, manakala terung pula mengalami kenaikan harga sebanyak 71 peratus iaitu dari RM7 sekilo kepada RM12 sekilo.
Dalam kenyataan sama, CAP turut memberitahu bahawa beberapa peruncit, pengedar dan pemborong telah memberi amaran bahawa harga sayuran lain mungkin naik dalam beberapa minggu lagi.
“CAP menggesa bahagian penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyiasat peningkatan harga ini kerana mereka yang berpendapatan sederhana akan terjejas teruk,” kata Presidennya, Mohideen Abdul Kader.
Beliau turut menggesa kerajaan mengambil tindakan terhadap peniaga yang menaikkan harga dengan melampau dan melanggar Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2010.
“CAP juga telah berulang kali menggesa Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengambil kawalan terhadap pemasaran dan pengagihan sayuran di negara ini bagi menghapuskan pencatutan oleh orang tengah, namun tidak diendahkan,” jelas Mohideen dalam kenyataan itu lagi.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune