Jenayah & Mahkamah

Maritim Malaysia tahan 29 kru nelayan menangkap ikan di zon larangan

LANGKAWI – Agengsi Penguatkuasaan Maritim (Maritima Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis berjaya menahan dua bot nelayan tempatan bersama 29 kru warga asing dan tempatan ketika melakukan aktiviti menangkap ikan di zon larangan dalam dua operasi berasingan di sini kelmarin.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksmana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, kedua-dua bot terbabit ditahan kerana melakukan penangkapan ikan di bawah 15 batu nautika dan tidak mempunyai pas lawatan kerja sementara.

“Dalam Op Aman dan Op Tiris 2.o itu, sebuah bot ditahan pada pukul 11.20 pagi pada kedudukan 10.8 batu nautika Barat Daya Tanjung Belua.

“Manakala, bot kedua ditahan pada pukul 1.00 petang di kedudukan 7.4 batu nautika Barat Daya Tanjung Cincin.

“Bot pertama yang ditahan adalah Kelas C2 yang membawa pukat jerut bersama 26 kru termasuk tekong. Kesemua kru adalah warganegara Thailand dan berumur lingkungan 29 hingga 55 tahun.

“Empat daripada kru terbabit tidak mempunyai pas lawatan kerja sementara dan telah melanggar syarat sah lesen Jabatan Perikanan Malaysia,” katanya dalam kenyataan semalam.

Romli berkata, bot kedua yang ditahan adalah dari kelas C yang membawa pukat tunda bersama tiga kru warga tempatan.

Katanya, kedua-dua bot bersama dua gulung pukat jerut dan pukat tunda, ikan seberat 730 kilogram (kg), dua tekong dan tiga kru ditahan dan dibawa ke Jeti APMM Negeri Kedah dan Perlis untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penangkapan ikan secara tidak sah boleh menyampaikan maklumat ke Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 atau talian kecemasan MERS 999.

Show More

Related Articles

Back to top button